Kerajaan menarik balik semua cabutan bertuah termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Myvi untuk pemohon MyKad.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad selepas menghadiri perhimpuna bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau menyifatkan langkah untuk memberikan hadiah bagi permohonan kad pengenalan sebagai "suatu tindakan bodoh".

Menurut laporan Bernama, Radzi berkata, kesemua hadiah termasuk kereta berkenaan akan didermakan kepada rumah anak yatim.

"Nak kena upah. Nak tukar MyKad kena buat cabutan bertuah baru orang ramai nak datang. Itu semua mengarut," katanya kepada pemberita.

"Ia satu tindakan bodoh untuk menawarkan sesuatu kepada rakyat Malaysia supaya hadir dan menukar MyKad," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya lebih bertanggungjawab dan jujur serta ikhlas untuk mendapatkan kad pengenalan mereka, satu dokumen diri yang amat penting.