MIC berhasrat tanding 1 kerusi Parlimen di KL pada PRU15
MIC Wilayah Persekutuan berhasrat bertanding satu kerusi parlimen di Kuala Lumpur pada PRU15.
Pengerusinya S Rajah berkata MIC Wilayah Persekutuan telah menyatakan hasrat itu kepada presiden SA Vigneswaran.
"MIC Wilayah Persekutuan telah kenal pasti kerusi yang sesuai untuk bertanding pada PRU akan datang.
"Presiden akan membawa cadangan kami kepada majlis pimpinan tinggi BN untuk berbincang. Kami pimpinan Wilayah Persekutuan sedia terima apa jua keputusan diambil di peringkat pusat," katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod, MIC tidak bertanding di sebarang kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Ketika ditanya kerusi yang disasarkan, Rajah berkata buat masa ini kerusi parlimen Batu merupakan satu-satunya kerusi paling berpotensi.
"Parlimen Batu masih kosong setelah parti Gerakan keluar daripada BN susulan kekalahan pada PRU14. Buat masa ini, BN tidak melantik penyelaras di kerusi tersebut.
"Namun selain MIC ada juga pemimpin Umno yang bergiat di kawasan tersebut," katanya.
Parlimen Batu dimenangi PKR sejak 2008 menerusi bekas naib presiden parti itu Tian Chua.
Pada PRU 2018, Tian Chua hilang kelayakan bertanding dan kerusi itu dimenangi P Prabakaran menggunakan tiket bebas, sebelum menyertai PKR.
Setakat Mac 2022, jumlah pengundi di kerusi tersebut dianggarkan seramai 112,000, selepas mengambil kira pengundi yang layak menerusi Undi 18 dan pendaftaran secara automatik.
Pecahan undi mengikut kaum adalah Melayu 43 peratus, Cina 30 peratus, India 20 peratus dan lain-lain 7 peratus.
/file/1174/1001c4da4ffa098a23b44f398e6c860f.jpeg)
