Pihak Istana Kehakiman telah membuat laporan polis mengenai artikel yang mendedahkan dokumen yang didakwa penghakiman bertulis dalam perbicaraan kes rasuah projek solar melibatkan isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan merujuk artikel bertarikh 26 Ogos, yang disiarkan oleh penulis blog kontroversi Raja Petra Kamaruddin di blog Malaysia Today.

"Perbuatan ini merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian Mahkamah dan pentadbiran keadilan.

"Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat berkenaan laporan-laporan portal tersebut.

"Pejabat ini menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mengesahkan mahupun menafikan kesahihan dokumen tersebut.

Sementara itu, polis dilaporkan berkata dokumen itu hanyalah rujukan kepada hakim dan bukannya salinan terakhir.

“Dokumen itu adalah dokumen penyelidikan berhubung kes yang masih dalam perbicaraan dan ia adalah pandangan unit penyelidikan sebagai rujukan hakim.

“Menurut pengadu, dokumen itu akan dipinda berdasarkan penyelidikan dan bukan keputusan mahkamah,” lapor The Star memetik OCPD Sentul Beh Eng Lai sebagai berkata.

“Laporan media ini mendakwa keputusan mahkamah mendapati Rosmah Mansor bersalah telah pun dibuat.

“Bagaimanapun, pengadu berkata bahawa dokumen itu bukan penghakiman,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada mulanya menetapkan tarikh 7 Julai untuk keputusan kes membabitkan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak melibatkan Rosmah.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan ke minggu depan, 1 Sept.

Peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader berkata tiada alasan diberikan untuk penangguhan itu.

Rosmah, yang merupakan isteri Najib Razak, menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam blognya, Raja Petra mendakwa penghakiman kes itu telah pun ditulis, dan Rosmah akan didapati bersalah.

Dia juga mendakwa penghakiman itu bukan ditulis oleh hakim perbicaraan, tetapi orang yang tidak dikenali.

Raja Petra juga telah membocorkan salinan draf penghakiman dalam rayuan Mahkamah Persekutuan Najib Razak mengenai kes SRC International awal minggu ini.