Anwar: Bajet 2023 diawalkan sebab PM ditekan partinya buat PRU awal
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata kerajaan menjadualkan semula pembentangan Bajet 2023 bukanlah sesuatu yang di luar kelaziman, namun ia adalah petanda Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan dari dalam parti.
Anwar, dalam klip video yang disiarkan ke Facebook berkata bahawa ia juga adalah petunjuk bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 semakin hampir.
“Umumnya dalam praktik kita dalam satu dua tahun ini, ada perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan memorandum persefahaman, umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.
"Ini (rundingan) belum bermula, bermakna mereka terburu-buru melaksanakan (pembentangan belanjawan). Maka adalah diandaikan ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang untuk perdana menteri menentukan tarikh pilihan raya," katanya dalam video itu.
Bagaimanapun, Anwar berkata rakyat memerlukan mandat yang lebih kuat dan bukannya perdana menteri yang terpaksa bertindak mengikut tuntutan partinya.
"Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baru ini boleh menumpukan perhatian pertama mempastikan tata kelola kerajaan yang baik dan meghapuskan rasuah," katanya.
Tambah Anwar, ntara isu yang belum ditangani ialah peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan dan Kepintaran Buatan dan perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali setahun.
"Malangnya satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk bererapa tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.
"Jadi kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh," katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, iaitu tiga minggu lebih awal dari tarikh yang dimaklumkan sebelum ini.
Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan antara pertukaran tarikh itu dengan pilihan raya umum akan datang, yang dispekulasi akan diadakan tahun ini kerana Umno telah meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya mengejut.
Persidangan parlimen seterusnya pada mulanya dijadualkan diadakan antara 28 Okt hingga 15 Dis dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2023 pada 28 Okt.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemudian, Wan Junaidi berkata kabinet mencadangkan tarikh itu ditukar 23 hari lebih awal berbanding sebelum ini, iaitu dari 3 Okt hingga 29 Nov (32 hari).
Minggu lalu, Wan Junaidi menyatakan pilihan raya umum akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan bajet persekutuan di Parlimen.
"Apabila bajet diluluskan dan rakyat merasakan manfaatnya, maka ia adalah masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/d033be32c448d1161b906bb744012adf.jpg)
