Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempersoalkan bilakan pihak polis akan mengambil tindakan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya tidak berasas dan rasis.

Kata Lim, slogan Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Ismail Sabri terbukti sebagai palsu dan kosong untuk memperdaya rakyat Malaysia mengenai komitmen untuk menjalin perpaduan Malaysia tanpa mengira kaum dan mempromosikan keharmonian agama.

"Bagaimana Keluarga Malaysia boleh memberi sebarang makna apabila duta khas ke Timur Tengah berstatus menteri, Abdul Hadi Awang, dibenarkan terlepas tanpa dihukum kerana menghina orang bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah di Malaysia?

"Bukan sahaja kabinet malah tiada seorang menteri pun, termasuk perdana menteri, mendokong konsep Keluarga Malaysia dengan menolak Abdul Hadi kerana dakwaan yang tidak berasas, memecahbelahkan, rasis dan ekstremis beliau terhadap orang bukan Islam dan bukan Bumiputera.

"Banyak laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap Abdul Hadi yang meminta tindakan tegas terhadap kenyataan menghasut dan tidak berasas yang menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malaysia, khususnya orang bukan Islam dan bukan Bumiputera. Bilakah polis akan ambil tindakan?" soalnya.

Sebelum ini Abdul Hadi mendakwa bukan Islam dan bukan bumiputera merupakan kumpulan besar yang menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

Kenyataan itu sekali gus menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Lim berkata PresidenTransparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan turut melabelkan Abdul Hadi sebagai rasis dan berpotensi menghasu serta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Abdul Hadi.

Tambah Lim, setakat ini presiden PAS itu masih tidak menyesal dan tidak berasa malu, yang menunjukkan bahawa Abdul Hadi mengancam perpaduan Malaysia dan integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Malaysia mencatat prestasi buruk dalam Indeks Persepsi Rasuah atau CPI TI sejak kerajaan pintu belakang BN-PN mengambil alih pentadbiran pada 2020, merosot 11 tempat daripada nombor 51 pada 2019 kepada kedudukan 62 pada 2021.

"Melainkan ucapan kebencian Abdul Hadi dihentikan, menyalahkan kaum dan agama sebagai punca rasuah hanya akan menyaksikan kedudukan CPI Malaysia semakin merosot pada 2022.

"Anggota kabinet bukan Bumiputera dan bukan Islam mengecewakan banyak pihak dengan sikap berdiam diri mereka dengan tidak berani meminta kabinet mengambil pendirian berprinsip yang betul terhadap ucapan kebencian Abdul Hadi, menteri-menteri daripada MCA, MIC, GPS dan GRS ini membiarkan, menyemarakkan dan membenarkan permusuhan dan kebencian Hadi terhadap orang bukan Bumiputera dan bukan Islam," ujarnya yang juga anggota Parlimen Bagan.

Lim turut mendakwa sebelum ini Abdul Hadi pernah menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak berhak untuk menjawat jawatan menteri penting dalam kabinet, seperti menteri kewangan.

"Namun begitu, MCA, MIC, GPS dan GRS terus bekerjasama dan menyokong PAS dan Menteri mereka di dalam kerajaan persekutuan.

“Sikap berdiam diri menteri-menteri bukan Islam yang berterusan menjadikan mereka sama-sama bertanggungjawab terhadap rasisme dan ekstremisme oleh PAS, terutamanya apabila PAS kini semakin melampau dengan mahu mengharamkan konsert, Oktoberfest dan Bon Odori," tegasnya.