Pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan dalam kehakiman yang didakwa dalam buku bekas peguam negara Tommy Thomas telah selesai.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, laporan akhir pasukan petugas itu telah mengenal pasti 19 isu yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan.

“Seterusnya, laporan akhir ini akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Tidak disebutkan jika laporan pasukan petugas ini akan didedahkan kepada umum.

Wan Junaidi berkata pasukan petugas itu telah menghabiskan sembilan bulan bagi menyiasat dakwaan berkenaan dengan mengadakan 19 sesi perundingan.

Disember lalu, Putrajaya menubuhkan pasukan petugas itu untuk menyiasat buku Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Buku itu merangkumi tugas Thomas sebagai peguam negara dari 2018 hingga 2020. Antara lain, Thomas menyentuh mengenai pelantikan hakim, campur tangan berlebihan oleh eksekutif dalam badan kehakiman dan pendakwaan terpilih.

Pasukan petugas itu diketuai oleh bekas penasihat undang-undang kerajaan Sarawak, Fong Joo Chung.

Anggota lain adalah bekas penjawat awam Hashim Paijan, bekas penjawat awam Junaidah Kamarudin, bekas hakim Jagjit Singh Bant Singh, peguam Shaharudin Ali dan peguam K Balaguru.

Tommy Thomas

Thomas secara jelas memberitahu Fong bahawa dia tidak akan bekerjasama dengan pasukan petugas itu.

Hujahnya, bahawa pasukan petugas itu tidak sepatutnya bertanggungjawab terhadap kabinet dan akan meletakkan duluan atau precedent berbahaya kerana ia akan menjejaskan kebebasan pejabat peguam negara.

[Baca berita asal]

Sementara itu Bernama , melaporkan laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) telah mengenal pasti 19 isu penting yang memerlukan perhatian kerajaan berikutan dakwaan yang terdapat dalam buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan akhir PPK yang mengkaji dakwaan dalam buku itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan seterusnya.

“Laporan akhir ini disediakan melalui hasil penelitian dokumen dan sesi konsultasi dengan pihak-pihak berkaitan. Dalam hal ini, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu. 

“Laporan ini telah disediakan oleh PPK dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari Disember 2021 hingga Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

Wan Junaidi memaklumkan PPK telah membentang dan menyerahkan laporan berkenaan kepada pihaknya dalam mesyuarat diadakan semalam yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.

Pada 18 April lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan bersetuju dengan pembentangan Laporan Interim oleh pasukan berkenaan yang dipengerusikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak Datuk Seri Fong Joo Chung.

PPK dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Dr Junaidah Kamarruddin. 

Turut menganggotai PPK itu bekas hakim dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jagjit Singh Bant Singh, peguam Datuk Shaharudin Ali dan K.Balaguru serta wakil kerajaan Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.