Zam kecewa TV antarabangsa tidak lapor tentang cuaca dan Bursa M'sia
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin kecewa kerana beberapa rangkaian televisyen antarabangsa tidak langsung memasukkan Malaysia dalam ramalan cuaca harian mereka.
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin kecewa kerana beberapa rangkaian televisyen antarabangsa tidak langsung memasukkan Malaysia dalam ramalan cuaca harian mereka.
Katanya, rangkaian televisyen antarabangsa itu juga tidak melaporkan prestasi Bursa Malaysia sedangkan mereka berbuat demikian untuk negara yang lebih kecil.
Sebaliknya, kata beliau, rangkaian televisyen antarabangsa cenderung menyiarkan aspek negatif mengenai sesebuah negara dan kebiasaannya enggan memaparkan aspek yang positif.
Menurut laporan Bernama, Zainuddin membangkitkan perkara itu di majlis taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Arab, Abdul Latif al Sayeth, di Dubai semalam.
Menteri Penerangan itu dalam rangka lawatan empat hari ke Dubai sempena pembukaan Biro Bernama di Dubai.
Sehubungan itu, Zainuddin berharap rangkaian televisyen antarabangsa lebih menonjolkan Malaysia dalam laporan mengenai sektor kewangan dan cuaca.
Abdul Latif yang turut menyuarakan sentimen yang sama, sambil menambah "kami juga berhadapan dengan situasi yang sama kerana tidak berada dalam peta mereka."
Bidang berpotensi
Katanya, pasaran kewangan Dubai juga kurang kurang mendapat perhatian rangkaian televisyen antarabangsa, meskipun ia mencatat pertumbuhan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Abdul Latif juga berkata AMG berminat melabur di Malaysia kerana berpendapat negara itu berada pada kedudukan terbaik di Asia Tenggara bagi kumpulan berkenaan.
Zainuddin membalas dengan berkata beliau menyambut baik minat AMG dan memberi jaminan bahawa kementerian itu akan membantu kumpulan terbabit meneroka bidang berpotensi di Malaysia.
Menteri Penerangan itu juga memberitahu Abdul Latif bahawa beliau sudah menceburi bidang kewartawanan lebih 40 tahun dan memain peranan penting dalam menambah edaran akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Abdul Latif berkata: "Dalam kes ini, anda perlu datang ke sini untuk menunjuk ajar kepakaran anda."
Mengenai pelancongan, Abdul Latif memuji Malaysia yang agresif mempromosikan rantau itu.
"Ramai pelancong dari sini suka ke Malaysia kerana cuacanya boleh dijangkakan," katanya.

