Keluarga mendiang Thomas Orhions Ewansiha gagal dalam tindakan undang-undang yang diambil mereka agar Jabatan Imigresen bertanggungjawab atas kematian lelaki itu ketika ditahan tiga tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini mengekalkan keputusan mahkamah koroner yang mendapati warga Nigeria itu meninggal dunia secara semula jadi semasa ditahan di depoh tahanan imigresen Bukit Jalil, pada 9 Julai 2019.

Peguam yang mewakili keluarganya, Rajesh Nagarajan mengesahkan bahawa pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid menolak permohonan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Koroner pada 12 Nov tahun lepas, yang membuat kesimpulan bahawa jabatan imigresen tidak terbabit dalam kematian tersebut.

“Malangnya mahkamah telah memutuskan untuk mengesahkan keputusan koroner. Kami kecewa.

"Keluarga telah memutuskan untuk tidak merayu," kata peguam tersebut.

Sebelum ini semasa mendengar permohonan semakan di hadapan Azhar, Rajesh berhujah bahawa Orhions meninggal dunia akibat beberapa perbuatan cuai, bermula dengan penahanan yang menyalahi undang-undang pada 4 Julai 2019.

Peguam itu berhujah bahawa pegawai penguat kuasa imigresen melakukan tangkapan yang menyalahi undang-undang kerana pelajar itu mempunyai pasport dan visa pelajar yang sah pada masa itu.

Peguam itu juga mendakwa lelaki berusia 34 tahun itu dipaksa melakukan lompat katak semasa di bawah tahanan Imigresen.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan kemudiannya membalas bahawa dakwaan penangkapan yang menyalahi undang-undang adalah tidak relevan kerana inkues hanya berkenaan dengan punca kematian Orhions.

Mereka berhujah bahawa laporan patologi menyatakan pelajar itu mati atas sebab semula jadi iaitu serangan jantung dan bukan kerana dipukul.

Pihak imigresen mendakwa pelajar itu ditahan semasa serbuan yang dilakukan jabatan imigresen di Pangsapuri Desa Aman Puri.

Mereka mendakwa dia kemudiannya direman selama 14 hari untuk pengesahan dokumen serta pengesahan daripada kolej berhubung rekod kehadiran dan maklumat kursus yang diambilnya.

Pada November tahun lalu, Koroner Mahyon Talib memutuskan bahawa Orhions meninggal dunia atas sebab semula jadi dan bukan berpunca daripada kecuaian atau unsur jenayah.