Bekas Ketua Angkatan Muda (PKR), Ezam Mohd Noor mengesahkan telah melepaskan semua jawatannya dalam parti itu dan tidak mahu pihak bahagian mencalonkannya bertanding sebarang jawatan dalam Kongres Nasional Mei ini.

Ahad lalu, beliau melepaskan semua jawatannya dalam PKR jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan Ketua Bahagaian Shah Alam tetapi kekal sebagai ahli parti itu.

Menurutnya beliau juga tidak mahu terbabit dalam proses pemilihan pucuk pimpinan dalam kongres itu yang akan diadakan di Seremban, Mei ini.

Sebaliknya, kata Ezam, beliau mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) untuk membasmi rasuah di negara ini.

Ditanya sama ada keputusannya itu akan menyemarakkan semula spekulasi beliau akan kembali menyertai Umno, Ezam berkata: "Orang suka buat spekulasi [...] dan terdapat mereka yang nakal dalam parti ini yang mahu memburuk nama baik saya.

"Tapi ia (dakwaan tersebut) tidak logik. Jika hendak menyertai Umno, anda perlu bertanding jawatan tertinggi parti (PKR). Dengan cara itu barulah anda dapat tawar-menawar kuasa sebelum menyeberang ke Umno.

"Keduanya, sejak beberapa bulan yang lalu, selaku Pengerusi Gerak, saya telah berulangkali membuat laporan polis terhadap Presiden Umno [...] jadi, macam mana beliau hendak menerima saya sebagai ahli? Saya rasa spekulasi itu, tidak patut timbul sama sekali," kata kepada malaysiakini malam tadi.

Agenda besar

Ezam menubuhkan Gerak akhir tahun lalu dan tidak lama selepas itu beliau melepaskan jawatan Ketua Pemuda PKR.

Katanya,beliau telah menghantar surat perletakan jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan Ketua Bahagaian Shah Alam kepada Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Keputusan meletakkan jawatan ini sangat baik kerana saya mempunyai agenda besar bersama Gerak dalam membasmi rasuah di negara ini.

"Saya percaya reformasi melalui Gerak mungkin lebih berkesan kerana mendapatkan sokongan yang menyeluruh, berbanding menggunakan saluran parti.

"Sebagai bukti, Gerak akan membuat satu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu depan," katanya.

Menjawab soalan seterusnya, Ezam menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau berselisih faham dengan Azmin Ali (Naib Presiden), kerana membenarkan dirinya dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan bahagian Kelana Jaya.

Sebelum itu, PKR Selangor telah memutuskan sebulat suara untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Dr Syed Husin sebagai timbalan presiden.

Bagaimanapun, dalam pemilihan di bahagian Kelana Jaya itu, Azmin dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden dan menewaskan Syed Husin dengan majoriti yang banyak.

Taklimat tertutup

Sebaliknya, Ezam berkata, beliaulah yang membawa Azmin menyertai PKR pada 1999 selepas parti itu ditubuhkan.

"Saya melantiknya sebagai pengarah pilihanraya PKR atas inisiatif saya sendiri," katanya.

Katanya, keputusan PKR Selangor mencalonkan Anwar untuk jawatan presiden dan Syed Husin sebagai timbalan presiden merupakan satu keputusan yang besar tetapi peringkat akar umbi tidak faham.

"Matlamat kita ialah untuk menobatkan Anwar sebagai Presiden PKR dalam Kongres Nasional nanti," katanya.

Ezam berkata, beliau masih yakin dengan parti kerana ada peningkatan ahli, khususnya di kalangan orang bukan Melayu sejak setahun lalu.

Ditanya sama ada beliau sedia menjadi calon PKR dalam pilihanraya umum akan datang, Ezam berkata, beliau akan memikirkannya.

Ezam kemudiannya menghadiri satu majlis tertutup untuk memberi penerangan kepada lebih 100 orang penyokongnya di kediamannya, mengenai keputusan beliau melepaskan jawatan dalam PKR dan menumpukkan sepenuh masa dalam Gerak.