Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ASNB isytihar pengagihan pendapatan RM882.49 juta bagi ASM 2 Wawasan
Diterbitkan:  Aug 30, 2022 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM882.49 juta bagi Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) untuk tahun berakhir 31 Ogos, 2022.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengagihan pendapatan itu akan memanfaatkan oleh 906,645 pemegang unit.

Setakat 25 Ogos, 2022, dana tersebut memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.05 bilion dan mencatatkan pendapatan bersih direalisasi RM725.10 juta.

“Pendapatan untuk ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta lain-lain pendapatan daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

“Hasil pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 37.3 peratus dan 36.0 peratus kepada pendapatan kasar dana,” katanya.

PNB berkata, dana tersebut juga mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio yang telah membuahkan hasil positif, dengan peruntukan kepada pelaburan antarabangsa meningkat sehingga 17.8 peratus berbanding 14.9 peratus pada 2020.

Agihan pendapatan ASM 2 Wawasan bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 3.75 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang berada pada paras 1.98 peratus sebanyak 177 mata asas bagi tahun kewangan setakat 30 Ogos, 2022.

Dalam tempoh yang sama, katanya, FTSE Bursa Malaysia KLCI susut sebanyak 5.46 peratus, daripada 1,601.38 pada 31 Ogos, 2021 kepada 1,500.29 mata pada 26 Ogos, 2022.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September, 2022.

Urus niaga ASM 2 Wawasan di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 hingga 31 Ogos, 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 September, 2022.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS