AG digesa tubuh pasukan khas siasat ‘penghakiman’ bocor
Peguam Negara (AG) Idrus Harun digesa menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan kebocoran penghakiman mahkamah melibatkan kes Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pasukan melibatkan anggota polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu perlu bagi menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan kakitangan mahkamah.
Katanya, Istana Kehakiman perlu membuat laporan polis berhubung kebocoran draf penghakiman kes SRC International melibatkan Najib di blog Malaysia Today milk Raja Petra Kamarudin.
“Penting untuk AG menubuhkan pasukan petugas khas dan mendapatkan pegawai kanan polis untuk menyiasat anggota kakitangan mahkamah,” kata Haniff Khatri.

Katanya pasukan itu boleh meminta peguam negara memohon bantuan guaman bersama (MLA) daripada rakan sejawatnya di United Kingdom dan meminta polis negara itu menyiasat sama ada Raja Petra benar-benar membocorkan salinan itu.
“Jika siasatan mendapati memang terdapat kebocoran, pasukan petugas boleh meminta AG mengeluarkan notis merah Interpol (polis antarabangsa) dan memulakan proses ekstradisi bagi membawa pulang Raja Petra untuk dituduh di mahkamah Malaysia,” katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Idrus berkaitan cadangan itu.
Pada 27 Ogos lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran penghakiman bertulis kes rasuah projek tenaga solar di Sarawak bernilai RM1.25 billion.
Polis telah merakamkan kenyataan beberapa pegawai mahkamah yang mempunyai akses kepada salinan penghakiman itu.
Mahkamah Kuala Lumpur akan menyampaikan keputusan kes Rosmah pada Selasa ini.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal mengubah keputusan bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International.
Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Madhzar juga mendukung pembentukan pasukan petugas khas itu.
Bagaimanapun, katanya, pasukan itu tidak diperlukan jika polis lebih serius dalam siasatan mereka terhadap Raja Petra
/file/1320/5efe3a2aaa45947c7c193a117a455375.jpeg)
