Mahkamah: K'jaan, polis bertanggungjawab atas kematian tahanan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kematian S Balamurugan ketika dalam tahanan, lima tahun lalu.
Peguam Zaid Malek dari Lawyers for Liberty mengesahkan keputusan mahkamah itu terhadap tindakan sivil yang difailkan oleh keluarga mendiang yang meninggal dunia pada 8 Februari 2017.
Zaid yang mewakili keluarga mangsa berkata, mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk menentukan ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan dan polis.
"Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache mempertanggungjawabkan polis dan kerajaan atas kematian Balamurugan.
"Mahkamah memutuskan mereka bertanggungjawab atas kecuaian, penahanan melanggar undang-undang, melanggar kewajipan statutori dan serangan terhadap mangsa yang menyebabkan kematiannya," katanya dalam kenyataan.
Peguam kanan persekutuan Norfauzani Mohd Nordin mewakili defendan, iaitu empat anggota polis, ketua polis negara (dengan namanya tidak disebut secara khusus) dan kerajaan.
Pada 7 Februari 2020, dua plaintif iaitu isteri Balamurugan, Natthanan Yoochomsuk dan saudara lelakinya S Balraj memfailkan tindakan sivil tersebut.
Pada 18 Januari 2018, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati polis melakukan beberapa pelanggaran dan salah guna kuasa yang serius berkaitan kematian Balamurugan.
Lelaki itu ditahan dan didakwa dipukul di balai polis Bandar Baru Klang pada 6 Februari 2017, sebelum dibawa ke Lokap Berpusat Shah Alam selama beberapa jam dan kemudiannya ke Mahkamah Majistret Klang untuk pendengaran reman.
Majistret mengarahkan Balamurugan dibebaskan. Namun dia didakwa ditahan ibu pejabat polis daerah (IPD) Kelang Utara dan didapati meninggal dunia pada 8 Februari 2017.
Dalam tindakan sivil ini, plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta ganti rugi khas RM23,000, serta ganti rugi terhadap keluarga atas kehilangan akibat kematian itu.
Mereka menuntut pengisytiharan yang defendan dengan niat, tanpa sebab saksama serta dengan niat jahat, mencabuli hak asasi mendiang yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Mereka menuntut faedah tahunan lapan peratus daripada tarikh tindakan difailkan sehingga tarikh keputusan, lima peratus faedah dari tarikh keputusan sehingga tarikh penyelesaian penuh ganti rugi, kos dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
/file/1084/aac13e7b3063bd78c413c592abad7f5f.jpg)
