Kanak-kanak lelaki maut kereta terbabas ke gaung
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut apabila kereta yang dinaikinya bersama empat yang lain terbabas sebelum masuk ke dalam gaung di Jalan Buloh Kasap-Jalan Kuala Paya, dekat Segamat, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Penguasa Muhammad Hazim Abd Razak berkata sebuah jentera dengan enam anggota bergegas ke lokasi sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang.
Katanya sebaik saja tiba bomba mendapati sebuah kereta Perodua Kancil berada di dalam gaung sedalam kira-kira 6 meter, dan seorang kanak-kanak cedera tersepit di tempat duduk belakang.
Empat lagi mangsa, katanya, terselamat dan keluar dari kereta itu dengan sendiri.
“Rizz Haikal Ereyentoo yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas, namun dia disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Buloh Kasap,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Muhammad Hazim berkata mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala empat yang lain iaitu seorang wanita berusia 39 tahun dan tiga lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, tidak cedera.
Operasi ditamatkan jam 5.29 petang.
- Bernama
/file/1044/85e506ba86855c10f2cd1f55c34f250b.jpg)
