Seorang warga emas kerugian kira-kira RM1.87 juta akibat terpedaya dengan penipuan parcel scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 67 tahun kelmarin.

Katanya bekas pekerja syarikat swasta itu berkenalan dengan wanita yang mendakwa warganegara Brazil dan bekerja sebagai doktor di United Kingdom pada akhir Mei lepas.

“Setelah berkenalan lebih dua minggu, individu itu berjanji untuk mengirimkan barang dan wang tunai berjumlah AS$2.8 juta kepada mangsa.

“Namun, pada 13 Jun 2022, seorang lagi wanita yang mengaku sebagai ejen penghantaran barang menghubungi mangsa dan meminta bayaran caj servis penghantaran barang dan wang tunai yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas Rupiah mangsa menggunakan wang simpanannya berjumlah RM1,871,540 untuk melakukan 11 transaksi dalam talian ke akaun bank yang diberikan ‘ejen’ tersebut antara Jun hingga Ogos lalu.

Katanya lelaki terbabit menyedari ditipu apabila sehingga kini dia tidak menerima barang dan wang tunai yang dijanjikan. Wanita berkenaan juga, kata Rupiah, gagal dihubungi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang awam dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada polis sekiranya menerima sistem pesanan ringkas (SMS), emel atau panggilan telefon mengenai tawaran yang meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

- Bernama