PKPIM harap Perisytihan Mekah akhiri konflik di Palestin
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendoakan agar pelan Perisytiharaan Mekah akan mencapai objektif untuk mencapai keamanan di bumi Palestin.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendoakan agar pelan Perisytiharaan Mekah akan mencapai objektif untuk mencapai keamanan di bumi Palestin.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Bukhori Alis berkata, persetujuan yang dicapai oleh puak Fatah dan Hamas untuk Perisytiharaan Mekah dan sekaligus menubuhkan kerajaan campuran yang baru, diharapkan dapat menamatkan segala konflik yang merugikan rakyat palestin itu sendiri.
"Jutaan Umat Islam pasti menangis kegembiraan menyaksikan keberkatan tanah suci Mekah menjadi medan penyatu semangat dan keazaman umat Islam di Palestin bagi menggarap kekuatan demi survival mereka di Palestin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan keberkatan tanah suci Makkah ini telah berjaya meruntun hati pemimpin Fatah yang juga Presiden Palestin dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh pemimpin tertinggi Hamas menghentikan persengketaan dalam memperjuangkan nasib rakyat palestin yang ditindas oleh rejim zionis Israel.
"Konflik bersenjata di antara dua pertubuhan yang berkongsi orientasi untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin ini sudah tentu akan dikenang dan wajib dijadikan teladan bagi rakyat Palestin dan umat Islam amnya.
"Konflik berdarah ini juga memperlihatkan kelemahan umat Islam itu sendiri, dan akan menyemarakkan lagi perspektif negatif yang menuduh Islam menganjurkan keganasan," katanya.
Muhammad Bukhori berkata umat Islam di Palestin masih lagi berhadapan dengan penindasan dan kezaliman rejim zionis Israel, seperti pembinaan tembok "apartheid" di tanah kepunyaan rakyat Palestin, pencerobohan askar zionis di palestin dan pembunuhan wanita dan kanak-kanak.
"Terbaru, umat Islam di Palestin sekali lagi diuji dengan tindakan biadab kerajaan Israel memulakan kerja penggalian berdekatan perkarangan Masjid Al-Aqsa dengan bertujuan untuk membina sebuah jejantas baru ke perkarangan masjid tersebut.
Rangka dasar pembangunan
"Natijahnya ia telah mencetuskan kemarahan umat Islam bukan sahaja di Palestin tetapi di seluruh dunia kerana ia akan merosakkan perkarangan Masjid Al-Aqsa itu yang merupakan masjid suci ketiga umat Islam," katanya.
Justeru, kata Muhammad Bukhori, Perisytiharan Mekah ini diharapkan dapat memberikan sinar baru bagi rakyat Palestin untuk melihat pimpinan mereka komited dalam merangka dasar pembangunan dan berusaha memperjuangkan nasib serta survival kehidupan mereka.
"Amerika Syarikat dan Eropah juga diseru untuk menamatkan sekatan pemberian bantuan kepada kerajaan Palestin, kerana kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk adalah hasil pemuafakatan dan rundingan yang melibatkan kepimpinan tertinggi kedua belah pihak serta melalui saluran demokrasi tanpa melibatkan unsur-unsur paksaan," katanya.
Negara-negara Islam juga, tambah beliau, harus menyatakan sokongan dan komitmen dalam menyalurkan bantuan kepada Palestin, khususnya pemberian bantuan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menaik taraf pendidikan dan sosial serta mempererat hubungan diplomatik dengan kerajaan Palestin.
"Adalah sesuatu yang merugikan bagi negara-negara Islam yang kaya dengan hasil muka bumi yang melimpah ruah tetapi mengambil sikap berpeluk tubuh di dalam membantu saudara seagama di Palestin," tambahnya.
Kesediaan pimpinan Hamas dan Fatah untuk berdamai, katanya, juga harus membuka mata pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di dunia Islam dan barat supaya berganding bahu meningkatkan bantuan misi kemanusiaan, taraf pendidikkan dan kesihatan di Palestin.
"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus menunjukkan sikap yang tegas dalam isu Palestin dan tidak mempamerkan sikap berat sebelah di dalam menanggani sebarang konflik yang melibatkan Israel terhadap Umat Islam di Palestin.
"Bantuan keselamatan, dengan menempatkan tentera pengaman di bawah PBB untuk memantau keadaan di wilayah bergolak itu adalah satu keperluan, memandangkan konflik bersenjata di Palestin berterusan berlaku sejak tahun penyerahan sebahagian besar wilayah Palestin oleh British kepada Israel pada 1948 sehingga sekarang dan telah memakan korban jutaan nyawa manusia," katanya.

