Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menggesa negara-negara Asean meningkatkan hubungan dengan China berikutan "provokasi” Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat.

Bercakap kepada Financial Times UK, Mahathir berkata AS telah meningkatkan ketegangan dengan China dalam isu berkaitan Taiwan.

Awal bulan ini, speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi melawat Taiwan selepas singgah di Kuala Lumpur, walaupun menerima ancaman berulang kali daripada Beijing.

Beijing menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya manakala AS terikat dengan peraturan untuk mempertahankan negara pulau itu daripada pencerobohan.

Lawatan Pelosi mencetuskan siri latihan ketenteraan China berhampiran Taiwan.

Dua hari lalu, AS bertindak balas dengan membenarkan dua kapal perangnya melalui Selat Taiwan yang didakwa China sebagai miliknya.

Walaupun Malaysia menjauhkan diri daripada konflik AS-China - termasuk perang perdagangan yang berterusan - Mahathir berkata banyak negara Asean telah lama bergantung kepada AS untuk keselamatan dan China untuk perdagangan, manakala kerajaan tersepit dalam ketegangan antara kedua-dua kuasa besar itu.

Mahathir berkata China adalah "pasaran besar" untuk Malaysia dan oleh itu penting untuk mengekalkan hubungan ekonomi dengan negara itu.

Dia berkata tidak seperti barat, China tidak berusaha untuk menakluk atau menduduki sesebuah negara.

"Ya, China dakwa Laut China Selatan sebagai milik mereka tetapi mereka tidak menceroboh kita. Mereka mahu mempengaruhi kaedah di negara Asean, tetapi mereka tidak menakluki kita, mereka telah melabur dalam (negara) kita.

"China adalah rakan dagang yang sangat baik," kata Mahathir, yang menjadi perdana menteri Malaysia selama dua kali selama 24 tahun.