Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar disaman RM120 juta
Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chin Woo, Off Jalan Pasar, Kuala Lumpur menfailkan saman fitnah terhadap Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KGBM) dan tiga yang lain serta menuntut RM120 juta kerana didakwa menyiarkan iklan yang berunsur fitnah berkaitan dirinya di tiga buah akhbar berbahasa Cina.

Ong Koh Hou, yang juga seorang ahli perniagaan menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, Jumaat lepas, melalui Tetuan Chan Tse Yue & Co.
Dalam pernyataan tuntutannya beliau menamakan presiden KGBM iaitu Pang Chong Leong, bekas presidennya Kang Siew Khoon, bekas setiausaha agungnya Chew Chai Kiat, naib presidennya Siew Ah Tong sebagai defendan.
Ong mendakwa keempat-empat defendan telah menyebabkan, melibatkan dan/atau meluluskan iklan berjudul "Untuk Membubarkan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia" untuk diterbitkan pada 6 Mac 2006 di akhbar Sin Chiew Daily, China Press dan Nanyang Siang Pau.
Menurut laporan Bernama, beliau mendakwa iklan tersebut mengandungi beberapa perkataan yang berunsur fitnah berkenaan dirinya.
Sehubungan itu, Ong menuntut gantirugi am berjumlah RM15 juta setiap seorang, juga gantirugi teruk berjumlah RM15 juta setiap seorang, faedah bagi gantirugi am dan teruk pada kadar empat peratus setahun dari tarikh saman difailkan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Beliau juga memohon injunksi menghalang keempat-empat defendan atau ejen mereka daripada terus menerbitkan iklan tersebut.