Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes pinda audit 1MDB: Pegawai SPRM tak tahu keterangan bekas ketua audit

Seorang pegawai penyiasat SPRM berkata dia tidak tidak tahu tentang keterangan bekas ketua audit negara Ambrin Buang bahawa dia tidak setuju dengan istilah "tamper" (ubah) dalam kes pinda laporan audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Penguasa Kanan SPRM Haniff Lami berkata siasatan awalnya mendapati Ambrin diarahkan untuk meminda laporan audit 1MDB.

Dia yang menjadi saksi pendakwaan ke-16 berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam N Sivananthan, yang mewakili bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Arul merupakan tertuduh selain Najib dalam kes ini, di mana laporan audit 1MDB didakwa dipinda sebelum ia dibawa ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Ketika prosiding pada 12 Ogos lalu, Haniff berkata siasatannya mencapai kesimpulan bahawa Najib mengarahkan pindaan dibuat bagi melindungi dirinya daripada kesan undang-undang.

Namun, ketika perbicaraan pada 10 Ogos 2020, Ambrin - saksi pendakwaan keenam - berkata dia tidak setuju dengan istilah "tamper" dan menegaskan perubahan dibuat atas keberannya selaku ketua audit negara.

Asas siasatan

Ketika prosiding hari ni, Sivananthan bertanya apakah asas siasatan Haniff adalah dakwaan yang Ambrin diarahkan untuk meminda laporan itu, dan dia menjawab "ya".

Sivananthan: Anda tahu tentang keterangan Ambrin (pada 10 Ogos 2020)?

Haniff: Saya tak tahu sepenuhnya.

Sivananthan: Anda tahu yang Ambrin beritahu mahkamah, ketika bersumpah, yang dia buat pindaan atas budi bicaranya?

Haniff: Saya tidak tahu.

Sivananthan: Jika Ambrin buat pindaan atas budi bicaranya, ia berbeza dengan apa yang anda sebut dalam perenggan tujuh pernyataan saksi anda?

Haniff: Betul.

Sivananthan: Oleh itu, keseluruhan siasatan bergantung kepada (dakwaan) Ambrin diarahkan untuk buat pindaan oleh tertuduh kedua (Najib)?

Haniff: Betul.

Sivananthan: Jika Ambrin sendiri tidak dipaksa untuk buat pindaan dan dia lakukannya atas persetujuan sendiri kerana dia ada hak selaku ketua audit negara ketika itu?

Haniff: Betul.

Namun ketika pemeriksaan semula dengan DPP Gopal Sri Ram, Haniff setuju yang Ambrin juga memberi keterangan yang dia tidak gembira dengan perubahan saat akhir terhadap laporan audit itu.

Haniff berkata rasa tidak gembira itu juga kerana Ambrin perlu bekerja keras untuk menyesuaikan perubahan saat akhir itu.

Di akhir prosiding, ketika Haniff keluar dari kandang saksi, DPP Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah yang pendakwaan harap dapat menyelesaikan hujahan terhadap Najib dan Arul pada 7 September ini.

Katanya, ini kerana walaupun Haniff adalah saksi pendakwaan terakhir, pasukan peguam Arul masih belum dapat membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-11, Syukry Mohd Salleh, iaitu bekas ketua setiausaha sulit kanan Najib.

Oleh sebab itu, katanya, mereka akan memanggil semula Shukry untuk pemeriksaan balas dengan peguam Arul.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian menangguhkan prosiding sehingga 7 September ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS