DAP: Nilai semua projek termasuk untuk bumiputera
Kerajaan dicadangkan supaya mengamalkan tender terbuka dan penilaian yang berkesan untuk semua projek, termasuk yang dihadkan kepada bumiputera sahaja.
Kerajaan dicadangkan supaya mengamalkan tender terbuka dan penilaian yang berkesan untuk semua projek, termasuk yang dihadkan kepada bumiputera sahaja.
Cadangan tersebut dibuat oleh Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, yang juga Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw ketika mengulas pendedahan Perdana Menteri bahawa purata 80 peratus projek bumiputera tahun lalu, menyalurkan kepada kaum lain.
Ia adalah hasil kajian ketirisan kontraktor Bumiputera yang dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kerja Raya.
Sehubungan itu, Dr Tan berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa ketirisan tersebut menggagalkan agenda bumiputera yang sangat penting dalam memastikan negara mencapai kemajuan dan kestabilan jangka panjang.
"Perkara ini berlaku selama berdekad-dekad. Jurang sosio-ekonomi wujud. Kita mestilah sentiasa melaksanakan program untuk mengurangkan jurang ini tanpa menjejaskan mana-mana kaum.
"Tetapi, kita perlu mempunyai pemantauan yang efektif untuk menjayakannya. Tempoh hari, kerajaan melaksanakan 880 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Difahamkan pelantikan kontraktor bagi kabanyakan projek ini bukan melalui tender terbuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salahguna agenda
Berikutan itu, katanya, kerajaan haruslah menyiasat hal ini termasuk kontraktor bumiputera yang telah mendapat projek, agar tidak ada kontraktor yang menyalahgunakan agenda tersebut.
"Bila kontrak bumiputera mengalir kepada kuam lain, ini tidak semestinya projek ini akan dilaksanakan dengan sempurna.
"Ada subkontraktor yang tidak dibayar oleh kontraktor, hingga projek terlambat atau terbengkalai, seperti projek Bangunan Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur," katanya.
Oleh itu, katanya, kerajaan wajib mempunyai iltizam dan kemahuan politik untuk membanteraskan penyelewengan tersebut.
"Semoga Datuk Seri Abdullah dapat mengambil tindakan yang praktikal untuk tujuan ini," katanya.

