Imej BN dan kredibiliti menteri kabinet telah terjelas, kata DAP
DAP mendakwa imej kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kredibiliti menteri kabinet telah terjejas ekoran tindakan Menteri Pengangkutan, Datuk Chan Kong Choy dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad membatalkan cabutan bertuah dan ganjaran wang tunai anjuran kementerian masing-masing.
DAP mendakwa imej kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kredibiliti menteri kabinet telah terjejas ekoran tindakan Menteri Pengangkutan, Datuk Chan Kong Choy dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad membatalkan cabutan bertuah dan ganjaran wang tunai anjuran kementerian masing-masing.
Semalam Chan mengumumkan pembatalan cadangan memberikan ganjaran wang tunai kepada orang ramai yang merakamkan gambar pesalah trafik sepanjang perayaan Tahun Baru Cina bulan ini.
Manakala Radzi pula memberitahu bahawa kerajaan menarik balik semua cabutan bertuah termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Myvi untuk pemohon MyKad.
Malah, beliau menyifatkan sebagai "suatu tindakan bodoh" untuk menawarkan sesuatu kepada rakyat Malaysia supaya hadir dan menukar MyKad.
Pengumuman mengenai cabutan bertuah tersebut dibuat oleh bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebelum itu, Datuk Azmi Khalid pada 25 Ogos 2005, yang menawarkan hadiah berjumlah RM350,000 bagi menarik 12 juta rakyat Malaysia supaya menukar kad pengenalan lama mereka kepada MyKad.
Hadiah-hadiah yang ditawarkan termasuk motosikal, peti televisyen, pakej percutian, komputer, kamera video dan telefon bimbit, yang ditaja oleh enam konsortium syarikat.
Semua pemohon MyKad yang berbuat demikian sebelum 30 November 2005, layak memenangi hadiah bulanan itu. Pemenangnya dipilih secara rambang melalui komputer.
Bazir masa dan tenaga
Sehubungan itu, Lim berkata, langkah menarik balik cabutan bertuah yang diumumkan oleh Azmi itu mencerminkan bahawa menteri kabinet tidak berkredibiliti.
Tambahan pula, katanya, tindakan juga tidak adil kepada "para peserta" apabila kementerian berkenaan menarik balik 88 hadiah yang ditawarkan bagi peraduan terakhir apabila dua cabutan bertuah sebellum ini diadakan dan para pemenang menerima hadiahnya.
Oleh itu,"para peserta" berhak untuk merasa tertipu apabila cabutan bertuah itu dibatalkan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata, semua itu menunjukkan perancangan yang lemah dan kurangnya profesionalisme di kalangan kakitangan dua kementerian berkenaan sehinggakan banyak masa dan tenaga dibazirkan untuk projek yang tidak berfaedah itu.
Sebelum ini Chan mengumumkan pemenang peraduan merakamkan gambar pesalah trafik dari 9 Februari hingga 10 Mac ini anjuran Jabatan Keselamatan Jalanraya, akan memenangi hadiah wang tunai RM150 untuk gambar terbaik, RM100 untuk tempat kedua dan RM50 untuk tempat ketiga.
Peratuan itu diadakan bagi membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang melakukan kesalahan jalanraya ketika sambutan Hari Raya Cina tahun ini.
Bagaimanapun, ia mendapat bantahan pelbagai pihak kerana peraduan itu sendiri akan menggalakkan pemandu melanggar undang-undang jalanraya apabila menggunakan kamera untuk mengambil gambar ketika memandu.

