Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 26 April depan untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan saman malu yang dikemukakan oleh bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Peguam yang mewakili Anwar, Sankara Nair berkata, atas persetujuan kedua belah pihak, permohonan itu akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Tengku Maimun Tuan Mat pada tarikh tersebut.

Beliau memberitahu pemberita demikian ketika ditemui selepas peguam kedua belah pihak mengadakan pertemuan dalam kamar Timbalan Pendaftar, Azmi Kari di mahkamah tinggi pagi ini.

Selain Nair, Anwar turut diwakili oleh peguam Raja Aziz Addruse, Param Cumaraswamy dan Anuar Shaddat manakala Dr Mahathir diwakili peguam VK Lingam.

Dr Mahathir membuat permohonan tersebut pada 5 Januari lalu untuk membatalkan saman malu yang dikemukakan oleh Anwar ekoran kenyataan yang dibuatnya sewaktu satu persidangan hak asasi manusia pada September 2005.

Sementara itu, Bernama melaporkan, pada 5 Januari 2007, Dr Mahathir mengemukakan permohonan membatalkan saman itu dengan alasan ianya bersifat skandal, tidak bersungguh-sungguh dan menyusahkan.

Dalam permohonannya, Dr Mahathir berkata saman Anwar terhadap beliau harus ditolak kerana ia tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk bertindak terhadap beliau selaras dengan Perintah 18 Peraturan 19 (1) (a) dan/atau Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Pada 27 Januari 2006, Anwar memfailkan saman itu terhadap Dr Mahathir, dengan mendakwa kenyataan Dr Mahathir itu bersifat fitnah.

Pengurusan saman

Pengurusan kes saman malu itu ditetapkan di hadapan Tengku Maimon pada 7 Mac.

Dalam kenyataan tuntutannya, Anwar berkata bahawa Dr Mahathir sedar kenyataannya itu bertujuan menghina beliau secara peribadi dan sebagai bekas menteri kewangan dan bekas timbalan perdana menteri, yang akan disiarkan oleh media tempatan dan asing.

Selain menuntut gantirugi am dan gantirugi teladan, Anwar juga memohon perintah menghalang Dr Mahathir atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan sedemikian pada masa hadapan.

Dr Mahathir dalam kenyataan pembelaannya berkata beliau membuat kenyataan sedemikian berdasarkan keistimewaannya sebagai perdana menteri.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat pada persidangan anjuran Suhakam itu memenuhi syarat keistimewaan yang boleh digunakan sebagai mana yang dinyatakan dalam Akta Hasutan 1957.

Dr Mahathir juga berkata kenyataannya pada 9 September 2005 itu dibuat atas dasar kepentingan awam dan menjadi tanggungjawabnya untuk memberitahu orang ramai mengenai salahlaku Anwar.

"Saya mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk memberitahu mereka yang hadir pada sidang akhbar itu, dan melalui mereka, untuk disebarkan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau membuat kenyataan itu untuk menjelaskan salah faham media mengenai tindakan yang diambil terhadap bekas timbalan perdana menteri itu apabila beberapa media mendakwa bahawa Anwar dipecat kerana kelantangan beliau mengenai beberapa dasar kerajaan.