Merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan membabitkan beberapa individu di Kuwait berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan telah dijalankan dan ia masih belum selesai.

SPRM, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset 1MDB, suruhanjaya itu memberi tumpuan kepada pemulihan aset atau wang yang hilang akibat penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terlibat.

"Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit.

"Sejak dua tahun lalu, SPRM telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait," katanya.

SPRM menambah bahawa ia masih menunggu maklumat daripada pihak di Kuwait melalui Bantuan Undang-undang Bersama (MLA). Perkara itu bagaimanapun masih dalam kajian pihak Kuwait.

Ia berkata, dalam pada itu, seperti yang dinyatakan oleh Pejabat Peguam Negara (AG) pada 16 Julai, beberapa penyelesaian yang ditawarkan oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara.

SPRM meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu bagi mengelak kekeliruan kepada masyarakat umum yang akan menjejaskan siasatan.