Seorang pemimpin MIC Johor menawarkan diri untuk bertanding di bekas kubu kuat BN di Pulai pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Perkembangan ini hadir dua minggu selepas bekas ahli parlimen kerusi itu Nur Jazlan Mohamed mencabar Timbalan Presiden MIC M Saravanan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Nur Jazlan mencabar Saravanan untuk bertanding di Pulai - kerusi campuran - selepas timbalan presiden MIC itu mengkritiknya kerana mengatakan bahawa BN tidak lagi boleh bergantung kepada MCA dan MIC.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan MIC Johor S Deva berkata dia akan menyahut cabaran itu.

Menyifatkan Nur Jazlan sebagai seorang "elitis" dan "tidak berprinsip", Deva menyatakan keyakinan untuk menjadi calon yang baik kerana merupakan anak tempatan dan terlibat dalam masyarakat.

"sebagai Ketua Penerangan MIC Johor saya ingin menyahut cabaran Datuk Nur Jazlan dan beliau perlu hadir secara gentlemen untuk memberi sokongan kepada pencalonan saya sekali gus menjadikan Parlimen Pulai P161 sebagai kerusi tambahan untuk MIC di Johor pada PRU-15 yang akan datang," katanya.

Nur Jazlan - yang merupakan timbalan ketua BN Johor - telah memegang kerusi itu selama tiga penggal sebelum ditewaskan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pada PRU 2018.

Dia sejak itu berkata tidak akan bertanding di Pulai lagi, dan telah mencabar beberapa orang termasuk Presiden MCA Wee Ka Siong untuk menjadi calon BN.

Bulan lalu Nur Jazlan mengritik MIC dan MCA, dengan berkata BN tidak boleh bergantung kepada mereka untuk sokongan bukan Melayu dan kedua-dua parti itu sangat bergantung kepada Umno.

Susulan itu, Saravanan berkata orang seperti Nur Jazlan adalah punca BN kalah pada 2018.