JAG gesa lindungi hak isteri, anak bila suami peluk Islam
Badan Bertindak Bersama bagi Persamaan Gender (JAG) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengekalkan arahan Mahkamah Tinggi terhadap seorang mualaf supaya terus membayar nafkah kepada bekas isterinya yang kekal beragama Hindu.
Badan Bertindak Bersama bagi Persamaan Gender (JAG) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengekalkan arahan Mahkamah Tinggi terhadap seorang mualaf supaya terus membayar nafkah kepada bekas isterinya yang kekal beragama Hindu.
JAG yang dianggotai enam pertubuhan wanita, termasuk Sisters in Islam (SIS) dan Jawatankuasa Wanita, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), berkata menurut laporan media, mualaf tersebut, L Genesan berhenti membayar nafkah kepada Letchimidevi apabila dia enggan turut sama memeluk Islam.
Dalam satu kenyataan hari ini, JAG menyifatkan keputusan tersebut telah melindungi hak anggota keluarga lain yang tidak mahu turut sama bertukar agama.
"Kami serta badan masyarakat yang lain, telah menerima permintaan daripada wanita bukan Islam untuk mendapatkan bantuan apabila suami mereka bertukar agama atau merancang memeluk agama Islam," kata kenyataan itu lagi.
Wanita terbabit, tambah JAG, memandang berat kesan pertukaran agama terhadap hak mereka di bawah undang-undang perkahwinan sivil dan pilihan yang mereka ada, apabila ianya berlaku.
Kebimbangan mereka, katanya, berpusat kepada isu-isu perceraian, pembahagian harta, tanggungan dan pusaka, hak penjagaan anak-anak dan proses pembesaran mereka.
Undang-undang tidak jelas
Menurut JAG lagi , ini memandangkan undang-undang berkaitan dengan perkara itu tidak jelas, tidak mencukupi dan telah ditafsirkan secara tidak betul dan tidak adil.
"Ini menyebabkan wanita terbabit berada dalam keadaan tidak pasti yang hak mereka akan dilindungi. Nasib yang dialami oleh wanita berkenaan, termasuklah S Shamala and R. Subashini, di mana kes perbicaraan mereka telah dilaporkan dalam media, menguatkan lagi kebimbangan tersebut," kata JAG.
Dalam reaksinya terhadap kebimbangan dan ketidakpastian tersebut, JAG telah menyediakan satu memorandum bertajuk Melindungi Hak Isteri dan Anak-anak Apabila Suami Memeluk Islam.
Memorandum tersebut, tegas JAG, menggesa supaya disemak semula undang-undang berkaitan, apabila suami memeluk Islam.
"Dalam memorandum itu, kami menggesa supaya dilakukan pembaharuan undang-undang di mana perlu, bagi memastikan hak anggota keluarga yang tidak turut bertukar agama (terutama isteri/suami dan anak-anak) di bawah undang-undang sivil, dipelihara," katanya.
Menurut JAG lagi, walaupun kebebasan seseorang individu untuk beragama adalah dihormati, tetapi pihaknya percaya, pemelukan agama Islam tidak boleh dijadi asas untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan dalam undang-undang sivil sebelum individu berkenaan bertukar agama.
Perkahwinan asal
Sehubungan itu, kata JAG, semua isu berbangkit mengenai perkahwinan mesti diselesaikan mengikut undang-undang sivil dan bukannya mengikut undang-undang Islam negeri, kerana perkahwinan asalnya didaftarkan di bawah undang-undang sivil.
Di samping itu, katanya, satu perundangan mesti digunapakai untuk menetapkan bahawa hanya mahkamah sivil sahaja mempunyai bidangkuasa untuk mendengar sebarang perkara yang berbangkit daripada perkahwinan seumpama itu, termasuk bidangkuasa ke atas pasangan yang sudah bertukar agama.
JAG menegaskan bahawa adalah tidak adil bagi seseorang wanita itu kehilangan haknya dalam perkahwinan apabila suaminya bertukar agama.
"Kita telah menghantar memorandum itu kepada Pejabat Peguam Negara dan akan turut mengedarkannya kepada menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Parlimen, Suhakam dan pertubuhan masyarakat yang lain.
"Adalah menjadi harapan kami agar pertimbangan sewajarnya diberikan terhadap kebimbangan dan syor-syor yang digariskan di dalam memorandum tersebut," kata JAG.

