Ibu bapa kepada peserta Pusat Latihan Khidmat Nasional (PLKN), Ili Ameera Azlan yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Kem Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka 18 Januari, lalu tidak akan membenarkan seorang lagi anak mereka mengikuti program khidmat negara pada masa depan.

Selepas kematian Ili Ameera, pasangan tersebut kini hanya tinggal seorang lagi anak perempuan yang kini berusia 16 tahun dan sedang belajar di tingkatan empat di Melaka.

Ibu Ili Ameera, Hasnah Arshad berkata, pengalaman anaknya meninggal dunia menyebabkan beliau trauma untuk membenarkan seorang lagi anaknya mengikuti program tersebut.

"Paling sedih kami sekeluarga tidak diberitahu mengenai punca kematian Ili Ameera sehinggalah diberitahu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Mengapa Timbalan Perdana Menteri yang perlu memberitahu sebabnya sedangkan saya sudah berkali-kali bertanyakan perkara tersebut kepada pegawai PLKN," katanya ketika selepas majlis penyerahan cek pampasan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di ibu negara hari ini.

Mohd Najib yang juga Menteri Pertahanan menyampaikan cek kepada dua waris bekas pelatih yang meninggal dunia semasa mengikuti program tersebut.

Punca kematian

Seorang lagi pelatih PLKN di Kem PDS Resort Port Dickson, , Teng Siau Shean, meninggal dunia pada 30 Januari lalu kerana radang paru-paru.

Keluara Ili Ameera dan Teng masing-masing menerima menerima cek sebanyak RM35,000 seorang sebagai bayaran pampasan insurana kematian anak-anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri, kata Hasnah, memberitahu beliau bahawa Ili Ameera meninggal dunia kerana masalah permakanan semasa berada di Kem Hutan Rekreasi Ayer Keroh.

Menurut kenyataan akhbar PLKN yang diedarkan kepada wartawan hari ini, Ili Ameera meninggal dunia pada 18 Januari lalu disebabkan oleh 'cardiac arrythmia secondary to electrolyte imbalance'.

Tetapi, Hasnah pula mendakwa, ia disebabkan kecuaian PLKN kerana anaknya itu tidak pernah menghadapi masalah permakanan sebelum ini.

"Jadi saya hendak tahu makanan apa yang diberikan kepada Ili Ameera sehingga membawa kepada kematiannya?" katanya.

Jatuh di bilik asrama

Sementara itu, suaminya, Azlan Harun pula berkata, keluarganya begitu lambat diberitahu mengenai kematian Ili Ameera, iaitu sejam setengah setelah anaknya dimasukkan ke Hospital Melaka.

Katanya, anaknya mendapat kemalangan jatuh dalam bilik asrama pada jam 5.30 petang tetapi beliau hanya diberitahu pada jam 7 petang hari yang sama.

"Adakah pegawai PLKN begitu sukar menghubungi saya atau keluarga terdekat saya yang lain? Mungkin mereka tidak mengambil berat mengenai perkara tersebut," katanya.

Azlan berkata, hasil tinjauannya ke kawasan Kem Hutan Rekreasi Ayer Keroh mendapati kem tersebut tidak mempunyai kenderaan ambulans untuk membawa pelatih ke hospital.

Katanya, pakaian pelatih juga tidak sesuai kerana terlalu tebal, menyebabkan pelatih sentiasa dalam keadaan panas.