Ezam: Keputusan letak jawatan muktamad!
Ezam Mohd Nor hari ini mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan semua jawatannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telahpun menghantar surat perletakan jawatannya kepada Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ezam Mohd Nor hari ini mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan semua jawatannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan telahpun menghantar surat perletakan jawatannya kepada Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ezam yang merupakan Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan Ketua PKR bahagian Shah Alam, memberi penjelasan tersebut ekoran laporan dalam akhbar
the Star
hari ini yang menimbulkan "kesangsian" berhubung perletakan jawatannya itu.
Laporan tersebut memetik Ketua Penerangan PKR, Tian Chua sebagai berkata, Ezam tidak meletakkan jawatan daripada sebarang jawatannya dalam parti dan perkara itu sudah terlalu sering diperkatakan.
Sementara itu, Khalid memberitahu malaysiakini bahawa beliau belum lagi menerima surat perletakan jawatan daripada Ezam.
"Saya tidak menerima sebarang surat atau mendengar apa-apa daripada beliau. Terdapat banyak gosip mengenainya tetapi status quo masih kekal," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Walaupun jika kita menerima (surat itu), masih terdapat proses tertentu. Saya sebagai pengerusi (Selangor) perlu memanggil mesyuarat peringkat negeri untuk memutuskan sama ada kita akan menerima perletakan jawatannya," tambahnya.
Ketika dihubungi berhubung kekeliruan tersebut, Ezam berkata, beliau telah menghantar surat tersebut melalui pos Ahad lalu dan Khalid perlu menunggu satu dua hari lagi sebelum menerimanya.
"Keputusan saya untuk meletakkan jawatan adalah muktamad. Saya adalah Timbalan Pengerusi PKR negeri, jadi saya hanya perlu memaklumkannya kepada pengerusi (Khalid), ia tidak perlu membabitkan pemimpin peringkat pusat," katanya.
Ezam turut menghantar melalui faks salinan surat perletakan jawatannya kepada malaysiakini. Dalam surat bertarikh 11 Februari itu, Ezam, antara lain berkata, beliau membuat keputusan itu selepas memikirnya dengan semasak-semasaknya.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda PKR itu, yang dianggap sebagai bintang yang sedang bersinar dalam partinya, memberitahu malaysiakini bahawa beliau masih kekal sebagai ahli biasa.
'Mainan politik'
Mengenai dakwaan bahawa beliau tidak sehaluan dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali, beliau berkata: "Mereka boleh kata apa sahaja yang mereka suka. Fokus sekarang adalah Gerak."Gerak atau Gerakan Demokrasi dan Anti-Rasuah ditubuhkan oleh Ezam tahun lalu.
Ditanya sama ada beliau akan menarik balik perletakan jawatannya itu jika PKR negeri enggan menerimanya, Ezam berkata: "Tahun ini saya sudahpun berusia 40 tahun dan ini mungkin keputusan yang paling sukar yang pernah saya buat dalam hidup saya. Ia adalah muktamad."
Ezam juga ditanya mengenai laporan akhbar the Star bahawa ucapannya dalam satu majlis tertutup di kediamannya di Shah Alam semalam tidak disenangi oleh mereka yang hadir.
Akhbar itu melaporkan, hadirin dikatakan tidak senang hati apabila Ezam mendakwa pemimpin-pemimpin PKR kurang kredibiliti, sehingga seorang pemimpin Angkatan Muda PKR menuduh beliau bersikap seperti seorang ahli politik Umno.
.
Ditanya mengenai laporan tersebut, Ezam enggan mengulas lanjut kecuali berkata: "Saya telah menjelaskan kepada mereka bawah saya mahu memberi tumpuan kepada Gerak. Rasuah begitu berleluasa dan saya mahu menjadikannya isu utama dalam pilihanraya umum akan datang."
'Krisis dalaman'
Ezam juga ditanya bagaimana Azmin dan Tian tidak tahu menahu mengenai perletakan jawatannya sedangkan mereka bertiga menghadiri perbicaraan kes Arsenik di mahkamah sepanjang minggu.
Beliau hanya menjawab: "Mereka adalah pemimpin pusat."
Mengenai kemungkinan pemimpin parti tersebut cuba menutup 'pergelutan dalaman' dengan menafikan beliau tidak meletak jawatan, Ezam berkata, soalan tersebut patut ditanya kepada mereka.
Dalam satu temubual dengan malaysiakini kelmarin, Ezam menafikan keputusannya meletakkan jawatan ada kena mengena dengan Azmin.
Kedua-duanya dikatakan tidak sehaluan kerana Azmin mahu bertanding jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Dr Syed Husin Ali, sedangkan Ezam mahu kedudukan sekarang dikekalkan.
Azmin telah dicalonkan oleh PKR bahagian Kelana Jaya untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada hujung minggu lalu. Kongres Nasional PKR akan diadakan Mei depan.

