Paling Popular
Terkini

Spekulasi kerusi yang bakal ditandingi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terus rancak diperkatakan apabila dia menyatakan kesediaan untuk melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Menurut sumber Umno Negeri Sembilan, beberapa kawasan parlimen menjadi tumpuan untuk kemungkinan bekas ketua Pemuda Umno itu bertanding pada PRU15 nanti.

Sumber memaklumkan yang Khairy telah dimaklumkan mengenai kesediaan Mohamad (gambar, bawah) untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau selepas senario politik PRU14 lalu.

Antara kawasan yang mungkin menjadi pilihan Khairy jika direstui pucuk pimpinan untuk bertanding ialah Parlimen Tampin, Kuala Pilah atau Putrajaya.

"Bagaimanapun Khairy dijangka akan bertanding di kerusi Tampin kerana ia dilihat 'kerusi selamat' buat ahli parlimen Rembau itu kerana ia adalah kubu kuat Umno, BN.

"Tampin merupakan kerusi yang pernah dimenangi oleh Shaziman Abu Mansor. Sudah pasti sedikit sebanyak akan mempengaruhi sokongan terhadap Khairy.

"Selain itu, kerusi Kuala Pilah juga dikatakan kerusi yang sesuai buat Khairy. Selain kerusi Parlimen Putrajaya.

"Namun agak tipis untuk menyatakan Khairy akan bertanding di kerusi Putrajaya," katanya kepada Malaysiakini.

Seorang lagi sumber memberitahu Malaysiakini perkara yang sama mengatakan Khairy dijangka menjadi calon bagi Parlimen Tampin, Kuala Pilah mahupun Putrajaya.

"Tok Mad dah bagi hint sejak dua tahun lepas. Jadi bila Khairy umumkan semalam (kelmarin), boleh kata sahlah dia tak dapat tanding Parlimen Rembau. Cuma, macam yang Khairy cakap dia tak ada kerusi parlimen lain, selain Rembau.

"Tapi Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson antara kerusi selamat yang mungkin boleh jadi pilihan Khairy.

“Tapi itu pun kalau (Presiden PKR) Anwar Ibrahim tak tanding dekat Port Dickson lah. Sebab bagi saya Port Dickson tak selamat kerana dia kerusi campuran," katanya.

‘KJ dah mula turun Kuala Pilah’

Bagaimanapun, sumber Malaysiakini mengulas lanjut berkata buat masa ini Khairy cenderung untuk bertanding kerusi Parlimen Kuala Pilah.

"Sekarang berat ke (parlimen) Kuala Pilah. Khairy pun kita lihat dah mula turun ke Kuala Pilah beberapa kali," tambahnya.

Pada 4 September, Khairy mengesahkan yang dia tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 nanti.

Khairy berkata dia telah diminta untuk memberikan laluan kepada timbalan presiden Umno yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Oleh kerana beliau (Mohamad) adalah ketua Umno bahagian Rembau dan saya timbalan kepada beliau. Jadi beliau telah minta saya cari tempat lain la sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

“Saya tidak ada halangan,” jelasnya.

Lihat Komen
ADS