Berkuatkuasa 1 Januari tahun depan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mewajibkan ibu bapa atau penjaga menyimpan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebelum anak-anak mereka layak memohon pinjaman PTPTN.

Bagi keluarga berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan, mereka disyarat menyimpan sebanyak RM3,000, manakala bagi keluarga yang berpendapatan bulanan di bawah RM2,000 dikehendaki menyimpan RM500.

Di samping itu, PTPTN juga akan mewajibkan ibu bapa atau penjaga menjadi penjamin kepada pinjaman anak-anak mereka, demikian diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

"Langkah ini bertujuan memastikan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka sama ada dari aspek pengajian ataupun bayaran balik pinjaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, pelajar peringkat ijazah sarjana muda perubatan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) akan menerima kadar pinjaman maksimum yang baru berjumlah RM30,000 setahun berbanding RM20,000 sebelum ini.

Menurut Mustapa, pelajar peringkat diploma di IPTS pula akan menerima kadar pinjaman maksimum berjumlah RM8,000 berbanding RM5,000.

Perubahan dalam PTPTN

Katanya, kenaikan kadar maksimum itu adalah antara perubahan yang dibuat dalam skim PTPTN.

"Perubahan-perubahan ini akan dilaksanakan untuk pelajar baru yang memulakan pengajian pada atau selepas 1 Mac 2007," katanya.

Mustapa berkata PTPTN akan memperluaskan skop pinjaman sedia ada kepada pengajian peringkat sarjana, doktor falsafah dan beberapa kursus peringkat profesional.

Selain itu, katanya, PTPTN juga akan membuat kajian kadar yuran yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang bakal diterima oleh peminjam bagi menyesuaikannya dengan keperluan bayaran balik pinjaman.

"Ini bagi memastikan agar pelajar tidak akan dibebankan dengan hutang yang banyak," katanya.

Mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap peminjam tegar, beliau berkata mereka yang telah disenaraihitam sehingga ke peringkat tindakan mahkamah, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada peminjam atau penjamin dengan kenaan kadar kos pentadbiran yang lebih tinggi.