Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, satu kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan rakyat Malaysia berada di tahap keselesaan dan kebahagian keluarga yang tinggi.

Kajian tersebut, tambahnya, menunjukkan indeks keselesaan dan kebahagian keluarga yang dicapai adalah 8.2 daripada skala tertinggi 10.

Kajian itu,tambahnya, menunjukkan indeks budi bahasa rakyat pula adalah 7.2 daripada skala tertinggi 10.

"Indeks lebih daripada tujuh adalah satu pencapaian yang baik. Kita mestilah meningkatkan usaha untuk meningkatkan tahap itu dari semasa ke semasa," katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama, beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, bagaimanapun, tidak menyebut pihak yang menjalankan kajian itu.

Kedudukan kewangan kukuh

Abdullah meminta kakitangan awam supaya bekerja dengan niat yang suci iaitu untuk memberi khidmat bagi membahagiakan rakyat, bukan untuk memperkayakan diri sendiri.

Beliau berkata rakyat kini lebih yakin dengan pembangunan ekonomi negara setelah Malaysia menikmati peningkatan dalam pelaburan, pasaran modal yang aktif serta kedudukan kewangan yang semakin kukuh.

"Kedudukan ekonomi negara bertambah baik. Pelaburan luar dan dalam lebih RM40 bilion. Pasaran modal aktif dengan prestisi tinggi, jumlah dagangan yang tinggi dan indeks yang tinggi.

"Kedudukan kewangan negara juga semakin kukuh," katanya.

Perdana Menteri berkata ini menjadikan rakyat merasa lebih lega berbanding dengan kebimbangan sebelum ini.

Tarik pelaburan

Tahun lalu, Malaysia menarik pelaburan dalam dan luar negara berjumlah RM46 bilion menerusi 1,077 projek yang diluluskan dalam sektor pembuatan berbanding RM31 bilion pada 2005.

Malaysia mencatatkan jumlah dagangan RM1.06 trilion tahun lalu dengan eksport bernilai RM588.95 bilion dan import RM480.49 bilion. Jumlah dagangan itu meningkat 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur pula ditutup pada 1258.63 mata semalam.

"Prestasi ekonomi itu memberi satu harapan baru kepada rakyat terhadap (kemampuan) ekonomi negara," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, dalam masa rakyat mahukan kemajuan dan menikmati kemajuan, mereka juga mahukan keamanan dan keselamatan.

Abdullah berkata rakyat berasa selesa apabila negara aman dan selamat dalam keadaan ekonominya yang meningkat.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, katanya, mempunyai peranan yang besar dalam memenuhi harapan rakyat.

Beliau mengulangi harapannya agar sistem penyampaian awam diperbaiki bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.