Peneroka mahu Felda pindahkan segera pusat jualan lembu di Palong
Peneroka Felda Gugusan Palong 14, 15 dan 16, Jempol, Negeri Sembilan mahu pengurusan Felda memindahkan segera pusat jualan lembu di Palong 16 jika mereka benar-benar serius mahu berbuat demikian.
Peneroka Felda Gugusan Palong 14, 15 dan 16, Jempol, Negeri Sembilan mahu pengurusan Felda memindahkan segera pusat jualan lembu di Palong 16 jika mereka benar-benar serius mahu berbuat demikian.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Peneroka terbabit, Feriz Musa berkata, selagi pusat jualan tersebut tidak dipindahkan, peneroka menganggap ia hanya satu cerita kosong.
Menurutnya, peneroka tidak lagi mahu mendengar janji sekadar untuk menyedapkan hati penduduk kawasan Felda terbabit.
"Apa yang berlaku sebelum ini ialah janji hanya tinggal janji, hampir 10 tahun peneroka terpaksa berdepan dengan pencemaran bau dan air busuk.
"Ini bukan sekali pihak berkuasa membuat janji mereka mahu memindahkan pusat jualan tersebut. Jadi
"Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 2004, pernah membuat janji serupa tetapi sehingga ini pusat tersebut masih beroperasi seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penolong Pengurus Felda Palong 14,15 dan 16, Abdul Razak Samad bahawa pusat jualan lembu tersebut akan dipindahkan pada bila-bila masa.
Kawasan jauh
Abdul Razak berkata, pengurusan Felda telah mengenalpasti satu kawasan kosong yang jauh dari penempatan peneroka.
Feriz berkata, peneroka sangat berterima kasih kepada pengurusan Felda jika mereka benar-benar memindahkan pusat jualan tersebut.
Sebelum ini malayskiani melaporkan kira-kira 700 keluarga peneroka di tiga penempatan Felda di Jempol, Negeri Sembilan mengadu bahawa pusat jualan lembu milik Felda, menyebabkan berlaku pencemaran bau dan air busuk sejak hampir 10 tahun yang lalu.
Pusat jualan lembu milik Felda Farm Products Sdn Bhd bertempat di Felda Palong 16, di kawasan seluas 10 ekar, mengendalikan kira-kira 1,000 ekor lembu, mula beroperasi pada 1998.
Pusat tersebut yang dikendalikan oleh kira-kira 50 pekerja Indonesia dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad pada tahun yang sama.
Peneroka mendakwa mereka pernah menemui bangkai lembu di dalam saluran air di kawasan ladang kelapa sawit di Felda berkenaan.

