PSC digesa soal SPRM isu kelewatan siasatan LCS
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri digesa menyiasat SPRM.
Ahli parlimen veteran DAP Lim Kit Siang berkata ini perlu kerana tiada perkembangan dalam siasatan SPRM mengenai perolehan kapal tempur pesisir (LCS).
"Ini adalah paling tidak memuaskan. Saya harap PSC akan berjumpa segera dan memanggil (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam Baki untuk menjelaskan mengapa SPRM gagal mengambil tindakan terhadap sesiapa berhubung skandal LCS RM9 bilion.
"(SPRM) mendapat manfaat daripada dua laporan mengenai skandal LCS - Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus Awam, Perolehan dan Kewangan LCS (JKUSTUPKK) yang diketuai oleh ketua juruaudit negara ketika itu, Ambrin Buang dan laporan audit forensik LCS (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd.
"Laporan ini mengandungi pelbagai kemungkinan pertuduhan berhubung rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, penyelewengan dan penipuan," kata Lim.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bergantung kepada kedua-dua laporan berkenaan untuk siasatan berhubung skandal itu.
PAC sebelum ini mengesyorkan agar SPRM mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal tersebut.
Bagaimanapun, selepas PAC mengeluarkan penemuannya, SPRM bertindak balas dengan mendakwa bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd Ahmad Mohd Nor atas kesalahan yang tidak berkaitan dengan projek LCS.
Lim berkata PSC juga perlu menyoal SPRM mengapa ia tidak bertindak lebih awal ke atas projek LCS memandangkan kosnya yang besar dan fakta bahawa projek itu bermula sejak Najib Abdul Razak menjadi menteri pertahanan.
“PSC harus bertanya secara khusus kepada Azam sama ada SPRM telah menyoal Najib mengenai skandal LCS RM9 bilion.
"Atau adakah PSC ini adalah PSC pertama yang gagal membuat sebarang perubahan dalam tadbir urus negara?" soalnya.
PSC itu dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kuala Kerai Abdul Latiff Abdul Rahman.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/3425c9e58102a66d44c3f648e70ac1ad.jpg)
