Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya membubarkan pasukan petugas khas jihad menangani inflasi kerana gagal membendung kenaikan harga, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu menyifatkan pasukan petugas itu, yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, sebagai "tidak berkesan, tidak cekap dan tidak relevan."

Lim melancarkan kritikan itu berikutan keputusan Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga berturut-turut tahun ini, terutamanya untuk membendung inflasi.

“Menaikkan OPR tidak berbeza dengan menafikan secara menyeluruh dakwaan Annuar bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan perlahan-lahan terkawal, sebagai slogan politik semata-mata dan tidak berasas.

“BNM secara tidak langsung menolak usaha antiinflasi Annuar kerana tiada sebarang kesan dengan indeks harga pengguna yang meningkat sebanyak 4.4 peratus pada Julai berbanding 3.4 peratus pada Jun 2022, tempoh sama Annuar mula dilantik sebagai pengerusi (pasukan petugas).

“Memandangkan BNM kini bergantung kepada alat monetari untuk menaikkan kadar faedah untuk memerangi inflasi, maka tidak ada keperluan untuk mengekalkan pasukan petugas jihad terhadap inflasi’,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Menurut Lim, pasukan petugas seperti itu akan memainkan peranan jika ia dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri.

Pada 29 Jun lalu, Ismail Sabri mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu, yang tugas utamanya mengumpul maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai, serta merangka strategi dan menyelaras tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya dalam mengawal kenaikan harga dengan lebih cekap dan berkesan.

Pasukan petugas itu dianggotai Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Semalam, BNM mengumumkan bahawa ia telah meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Bank pusat itu berkata kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Ia menyatakan bahawa tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi yang tinggi dan pasaran buruh yang ketat.

Akibatnya, ia berkata bank pusat dijangka terus menyesuaikan tetapan dasar monetari mereka, dengan beberapa pada kadar yang lebih pantas, untuk mengurangkan tekanan inflasi.