LLM kata laluan Sungai Nyior sebahagian projek BORR
Laluan di Sungai Nyiur adalah pakej dalam projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan ia tidak dikenakan tol sebelum ini kerana BORR belum siap sepenuhnya, kata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Laluan di Sungai Nyiur adalah pakej dalam projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan ia tidak dikenakan tol sebelum ini kerana BORR belum siap sepenuhnya, kata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Oleh itu, Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohamad Noor Yaacob berkata dakwaan bahawa laluan Sungai Nyiur itu bukanlah jalan baru, adalah tidak tepat.
Katanya, BORR, termasuk laluan Sungai Nyior telah dibuka untuk laluan kenderaan serta dikenakan bayaran tol mulai Selasa depan.
"Dulu belum siap (BORR) dan sebab itu tidak dikenakan bayaran tol," kata beliau kepada pemberita di Bukit Mertajam hari ini.
Menurut laporan Bernama, pembinaan plaza tol tersebut mencetuskan kontroversi kerana penduduk mendakwa ia bukan laluan baru yang dibina menerusi projek BORR dan mereka telah menggunakan laluan itu secara percuma sejak hampir 10 tahun lalu.
Berikutan pembinaanplaza tol tersebut, pengguna dari Butterworth ke Kulim terpaksa membayar tol dua kali di Sungai Nyiur dan Kubang Semang yang jaraknya tidak begitu jauh. Terdapat tiga plaza tol di laluan BORR, iaitu Sungai Nyiur, Perai dan Bagan Ajam.
Jalan alternatif
Mohamad Noor berkata bagaimanapun beliau akan majukan semua bantahan dan isu yang timbul ekoran plaza tol di lebuhraya itu kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu secepat munkin.
"Saya tidak dapat menjelaskan dan saya akan maklumkan kepada menteri saya... kita (LLM) hanya buat apa yang diarah oleh kerajaan," katanya.
Setakat ini, katanya, kerajaan tetap akan mengenakan bayaran tol ke laluan di Sungai Nyiur itu mulai Selasa depan dan syarikat pengendali lebuh raya itu diberikan konsensi selama 30 tahun.
Mengenai cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu membina jalan alternatif menghubungkan Seberang Jaya dan Butterworth bagi mengatasi bantahan penduduk setempat, beliau berkata ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.
Mohamad Noor berkata, LLM tidak mempunyai tanah untuk diberikan kepada kerajaan negeri bagi membina laluan alternatif dan tanah yang berhampiran dengan lebuh raya itu adalah tanah rezab lebuh raya sahaja.
Katanya orang ramai yang tidak mahu mengunakan lebuh raya BORR itu sememangnya mempunyai laluan alternatif cuma ia jauh dan mempunyai lampu isyarat.

