Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di ibu negara terhadap Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berhubung isu pelaburan Maika Holdings.

Laporan yang tersebut dibuat oleh Naib Ketua Angkatan Muda PKR, S Manikavasagam membuat jam 3 petang tadi itu, antara lain, meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Zulkifli Mat Nor membuka semula siasatan berhubung isu saham Maika.

Beliau juga meminta Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail mendakwa Samy Vellu dan anaknya Vell Paari dan pengarah Maika kerana didakwanya telah melakukan pecah amanah dan menipu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Manikavasagam berkata, pada 17 November lalu, Samy Vellu yang juga penaung Maika, telah berjanji bahawa Maika akan membuat bayaran balik kepada pemegang saham dalam tempoh 100 hari.

Bagaimanapun, dakwa Manikavasagam, tempoh 100 hari itu telah tamat semalam dan Maika belum menunaikan janji untuk membayar balik wang pelaburan kepada pemegang saham Maika itu.

Kebanyakan pelabur, tambah beliau, terdiri daripada warga emas yang terpaksa menjual harta, tanah dan emas untuk melabur dalam Maika.

Bawa sepanduk

Sementara itu, seorang pemegang saham Maika, Palani Selvam yang hadir untuk menyokong laporan polis tersebut, berkata, beliau pergi ke pejabat Maika semalam untuk menuntut bayaran balik yang dijanjikan itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, terdapat kira-kira 100 orang berkawal di sekitar kawasan pejabat Maika.

Palani berkata, beliau dan pelabur lain bertemu dengan Vell Paari tetapi mendakwa anak Datuk Seri Samy Vellu memberitahu mereka bahawa ayahnya tidak ada kena mengena dengan Maika.

"Isteri saya melabur RM2,000 dalam Maika pada 1993 dan Maika menjanjikan pulangan RM2,600 tetapi sehingga sekarang tidak mendapat walau sesen pun," katanya.

Katanya, beliau merasa hairan mengapa kerajaan tidak mahu campurtangan dalam isu tersebut sedangkan ia telah berlaku sejak sekian lama.

Beberapa ahli PKR yang hadir sama di Ibu Pejabat Polis Brickfields turut membawa sepanduk yang menggesa Perdana Menteri supaya memecat Samy Vellu serta sepanduk yang menggesa Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah BPR supaya mengambil tindakan sekarang.