Ribuan burung hijrah tidak lagi menjadikan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) sebagai lokasi persinggahan berikutan pembersihan hutan di kawasan itu, kata sebuah NGO alam sekitar.

Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Abdul Malek Yusof, berkata pembersihan hutan juga menyebabkan habitat haiwan liar musnah.

“HSKBC sebelum ini tempat persinggahan ribuan burung hijrah, macam-macam spesies seperti flamingo. Di kawasan berkenaan juga sebenarnya habitat harimau kumbang, bila semua ini (pembersihan) terjadi maka habitat haiwan itu musnah," kata Abdul Malek seperti dilapor Utusan Malaysia.

Katanya, keadaan itu menjelaskan mengapa haiwan liar seperti monyet, dikesan memasuki kawasan perumahan di Seksyen 7 dan 8 di Shah Alam.

Menurut Abdul Malek, kerajaan negeri sepatutnya mempertahankan status HSKBC sebagai hutan simpan kekal kerana hanya lokasi itu sahaja hutan yang ada di Shah Alam untuk menjadi kawasan tadahan air.

Bukit Cerakah dilaporkan telah dinyahwarta sebanyak 22 kali sejak 1924 dan kini sedang dibersihkan untuk tujuan pembangunan, berikutan penyahwartaan yang diluluskan pada tahun 2000.

Kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Amirudin Shari sebelum ini menerima kecaman berhubung perkara itu.

Bagaimanapun Amirudin mempertahankan penyahwartaan tersebut dengan mengatakan ia dilakukan untuk mengelak tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Abdul Malek berkata kerajaan negeri Selangor perlu melihat semula agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan HSKBC yang ketika ini lebih cenderung untuk memenuhi kantung mereka termasuk melalui pembukaan ladang tanaman.