Suaram desak inkues kematian tahanan dibuat pihak ketiga
NGO hak asasi manusia Suaram hari ini mendesak sebarang siasatan atau inkues kematian dalam tahanan dilakukan oleh pihak ketiga ataupun badan luar yang bebas dan bukannya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu kenyataan media, pengarah eksekutifnya Sevan Doraisamy berkata ini bagi mengelakkan sebarang campur tangan dan konflik kepentingan.
"Suaram berasa amat kesal dan bimbang terhadap kes kematian dalam tahanan ke-20 yang diumumkan oleh PDRM pada tahun ini.
"Walaupun Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) ditubuhkan pada awal tahun ini, tetapi tiada penambahbaikan mengenai isu ini.
"Kami memahami masa diperlukan untuk siasatan polis dalam kes-kes kematian dalam tahanan sebegini. Walau bagaimanapun, masa yang diambil adalah terlalu lama. Suku pertama tahun 2022, kita mendapati ada 14 kes kematian dalam tahanan. Namun, setelah enam bulan berlalu, USJKT masih gagal memberi sebarang maklumat mengenai perkembangan siasatan kes-kes berkenaan," katanya.
Tambahnya, NGO itu juga berpendapat bahawa tiba masanya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk mengambil alih siasatan kes-kes kematian dalam tahanan polis bagi menentusahkan keberkesanan, kebebasan dan kesaksamaannya dalam perkara ini.
Katanya, Suaram juga terkejut dengan fakta yang menunjukkan hanya satu kes dituduh di mahkamah dan hanya satu kes yang dirujuk kepada koroner untuk prosiding inkues setakat ini sedangkan Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah dengan jelas menetapkan kewajipan menjalankan prosiding inkues bagi semua kematian yang berlaku dalam tahanan polis.
"Kami ingin menegaskan pendirian kami bahawa inkues mandatori perlu dijalankan dengan segera bagi semua kematian dalam tahanan bagi mengelakkan pengubahan bukti dan pemalsuan tempat kejadian jenayah.
"Ia adalah cara yang paling sesuai dan berkesan di sisi undang-undang untuk mencari kebenaran serta menentukan punca kematian sama ada ia melibatkan unsur jenayah, kecuaian atau faktor kesihatan," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/1b451272f372631e997a5991139a985a.jpg)
