Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Ubat untuk Najib sama jenis, dalam senarai ubatan KKM’
Diterbitkan:  Sep 12, 2022 5:51 PM
Dikemaskini: Sep 13, 2022 2:42 AM
  • Dikemas kini dengan olahan semula berita.

Jenis-jenis ubat yang diberi kepada Najib Razak semasa kemasukan wad sama jenisnya dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL,” katanya merujuk keadaan kemasukan Najib ke pusat perubatan itu pada 9 September.

Perbicaraan kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini disingkatkan kerana dia memerlukan rawatan perubatan setelah ubat darah tingginya memberinya kesan buruk.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa dia dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Penjara Kajang mengenai keadaan Najib yang agak teruk.

“Ubat tekanan darah tertuduh telah ditukar dan ia memberi kesan buruk kepadanya.

“Saya dimaklumkan keadaannya (Najib) agak teruk, tetapi beliau bersedia untuk berada di sini (perbicaraan) sehingga 12.30 tengah hari. Pada 2 petang beliau perlu dibawa ke hospital untuk berjumpa doktor,” katanya.

Dalam kenyataan petang ini, Noor Hisham berkata mereka telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu.

Namun, katanya, pada masa yang sama, pihaknya mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, katanya, Najib dimasukkan ke HKL pada Jumaat lepas sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.

Katanya, pemeriksaan dan ujian berkaitan dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

“Pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh mantan perdana menteri dan ahli keluarga beliau.

“Keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan profesional kedoktoran.

“Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL,” katanya.

Lihat Komen
ADS