Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria meminta semua pihak supaya jangan menjadi Dewan Amal Islami (Damai) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri semalam, yang turut dianggotai ulama, sebagai alat atau landasan untuk agenda politik.

Sehubungan itu, beliau berharap Damai sebuah badan baru yang dianggotai ramai cendikiawan Islam, daripada dijadikan bahan berpolitik.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, penubuhan Damai,yang turut dianggotai golongan ulama, bertujuan menjadi platform untuk menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini.

"Jangan kaitkan ulama dengan politik ... Ulama bukan politik. Kita hanya ada satu matlamat (untuk gerakkan Islam), jadi ketepikan semua elemen-elemen politik," katanya dalam ucaptama perasmian Wacana Ilmuan Islam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Damai, iaitu badan yang menaungi semua NGO Islam di negara ini bagi menjalankan aktiviti pembangunan modal insan dalam kalangan Ummah.

Damai yang dicetuskan oleh Abdullah, menaungi 95 badan amal Islam dan 538 badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Harussani juga berkata, agama dan sistem akademik tidak wajar dipisahkan kerana langkah itu menyebabkan lahir generasi berkemahiran dalam ilmu dunia tetapi jahil mengenai tuntutan Islam.

Turut hadir dalam wacana itu ialah Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Damai.