NGO gesa kedutaan M'sia tunjuk kesungguhan selamatkan mangsa scammer
Sebuah NGO menggesa kedutaan negara di luar negara untuk menunjukkan kesungguhan dalam membantu mangsa ratusan warga Malaysia masih menjadi tawanan di negara asing selepas tertipu dengan sindiket tawaran pekerjaan dalam talian.
Berkongsi pengalaman peribadi, Setiausaha Pertubuhan Peneraju Insan Indrani Selvakumar (gambar atas, kiri) yang membantu membawa balik seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa di salah sebuah negara Asean mendakwa proses membawa balik warganegara itu mengambil tempoh yang panjang kerana keddutaan negara Malaysia tidak menunjukkan kesungguhan.
"Pertubuhan kami mendapat maklumat mengenai individu ini yang ditawan di salah sebuah negara Asean, kami terus menghubungi Kedutaan Malaysia di negara tersebut untuk mengambil langkah segera menyelamatkan mangsa.
"Kami memberi segala maklumat yang penting termasuk lokasi keberadaan mangsa kepada kedutaan kita. Namun, kedutaan kita memberitahu akan memaklumkan kami tindakan seterusnya.
"Selepas hampir empat bulan tiada sebarang maklumat atau progresif daripada kedutaan kita dari negara tersebut, akhirnya kami membuat laporan kepada pihak polis Malaysia. Dengan bantuan polis Asean, pihak polis Malaysia berjaya menyelamatkan mangsa," katanya kepada Malaysiakini.
Dia menambah bahawa ini merupakan kes kedua melibatkan pertubuhannya dengan kedutaan negara di negara asing dalam usaha cuba membawa balik rakyat Malaysia terkandas kerana menjadi mangsa sindiket penipuan.
"Dalam kes pertama pun kami menerima pengalaman yang hampir sama apabila kedutaan negara kita memberi pelbagai alasan ketika meminta bantuan menyelamatkan rakyat kita yang terkandas di negara asing.
"Kami meminta, Kementerian Luar Negeri lebih peka dan serius dalam menangani isu kes penipuan rentas sempadan di rantau ini khususnya melibatkan rakyat Malaysia," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/994547b55aa516ff68e4fc4c8b81685e.jpg)
