Klip video Rosyam-Rina: Wanita MCA saran isu sensitiviti jantina diajar di sekolah
Wanita MCA mencadangkan agar sukatan pelajaran tentang isu jantina diajar di sekolah rendah, menengah, dan sehingga ke peringkat pengajian tinggi, serta dibuat wajib semasa induksi dan latihan penjawat awam.
Ketua Wanita MCA Heng Siai Kie berkata kursus itu akan dapat memupuk sikap saling menghormati antara jantina, selain menghapuskan stereotaip kuno yang merendahkan wanita dan perjuangan golongan berkenaan dalam bidang domestik dan juga dalam kehidupan kerja.
Heng memetik klip video promosi terbaru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memaparkan menteri Rina Harun dan pelakon Rosyam Nor, yang dikatakan membuat membuat kenyataan tidak menghormati wanita.
"Rosyam perlu sedar dengan kesan serius tentang kenyataannya yang boleh menguatkan atau merestui serangan fizikal terhadap wanita.
"Semasa mempromosi program keusahawanan, adakah dia menganggap celotehnya sebagai jenaka ringan – ceramah kopitiam?" kata Heng.
"Melihat rakaman penuh kata-katanya yang diucapkan akan membantu untuk memahami sudut yang mungkin dia anggap sebagai gurauan, namun, jenakanya adalah kesat dan hanya mengesahkan lagi kecenderungan merendahkan wanita yang berlaku sekian lama.
"Sekiranya dia sedar kekuatan dalaman yang dimiliki wanita, cabaran yang perlu diatasi oleh ibu, anak perempuan dalam mengimbangi kerja rumah, tanggungjawab keluarga dan tuntutan kerja, dia mungkin tidak akan mencela dengan cara itu," katanya lagi.

Heng berkata Rina sebagai menteri sepatutnya menghentikan segera pelakon KL Gangster 2 itu daripada "cakap-cakap mengarut" dan sebaliknya menegaskan bahawa kenyataan seperti itu tidak boleh diterima.
"Bukan sahaja gambaran sebegitu memburukkan kementerian, malah ia menafikan sepenuhnya inisiatif memperkasakan wanita yang telah lama diusahakan oleh kementerian itu dan kakitangannya," katanya.
Video yang dikongsi di akaun TikTok Rina menunjukkan Rosyam bercakap dengan cara kasar, dipercayai meniru watak dalam pelbagai filem gangster tempatan, untuk video promosi program keusahawanan kementerian.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/02/7c4e97e35bdd82fff22dc9712f15733b.jpg)
