Kolej Tentera Udara (KTU) Diraja Malaysia di Kepala Batas dekat Jitra, Kedah KTU menjadi tumpuan selepas media mendedahkan seorang pelatihnya didera melarang media merakam gambar kolej berkenaan.

TV3, dalam buletin beritanya kelmarin, mendedahkan seorang pelatih tahun tiga Mohd Hazim Mohd Azman, 19, didera di kawasan Wisma Kadet TUDM di Kem Tanah Merah, dekat Jitra pada 27 Januari lalu.

Rakaman video itu menunjukkan Mohd Hazin didera termasuk dipaksa menjilat sesuatu di tanah, masuk dalam tong sampah, memasukkan kepala dalam longkang dan ditendang.

Sementara itu, Bernama memetik Komandan KTU, Kolonel Sukur Hamidun sebagai berkata media dilarang mengambil gambar dalam kawasan kawalannya kerana ia merupakan kawasan keselamatan tetapi tidak menghalang jika jurukamera berbuat demikian di luar kawasan kolej.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas permintaan pengawal keselamatan KTU semalam yang tidak membenarkan pihakmedia merakam gambar kolej tersebut.

Dalam kejadian tersebut, pengawal di pintu masuk KTU menghalang jurufoto dan jurukamera televisyen merakam gambar kolej itu dan mengarahkan mereka memadamkan rakaman yang telah dibuat.

Jurufoto Bernama Josmani Salleh berkata mereka akur dan menghormati kehendak pengawal itu apabila beliau menjelaskan dengan baik mengenai larangan merakam gambar kawasan tentera atas alasan keselamatan, dan memadamkan rakaman sambil diperhatikan pengawal itu

"Saya setuju atas tindakan yang diambil oleh pengawal keselamatan berkenaan yang seecara hormat meminta mereka (jurukamera) tidak merakam gambar tetapi tidak menghalang mereka berbuat demikian di luar kawasan kawalan," katanya.

Sukur berterima kasih kepada jurukamera yang mematuhi permintaan pengawal keselamatan yang meminta mereka memadamkan rakaman yang sudah dibuat.