Kes dera di KTU: 15 pelatih senior dipanggil beri keterangan
Lima belas pelatih senior Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas dekat Jitra, Kedah, yang dikenalpasti terlibat dalam penderaan seorang pelatih tahun dua kolej tersebut, telah dipanggil hari ini untuk memberi keterangan di Balai Polis Jitra.
Lima belas pelatih senior Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas dekat Jitra, Kedah, yang dikenalpasti terlibat dalam penderaan seorang pelatih tahun dua kolej tersebut, telah dipanggil hari ini untuk memberi keterangan di Balai Polis Jitra.
Polis memulakan siasatan hari ini selepas menerima arahan tersebut pejabat pendakwaraya di Alor Star petang semalam supaya menyiasat segera kes penderaan Mohd Hazim Ahmad Azman, pelatih tahun dua KTU, yang didakwa dilakukan pelatih senior kolej itu.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Kubang Pasu, Supt Mohd Karim Abu berkata, pihaknya menerima arahan tersebut daripada pejabat pendakwaraya di Alor Star petang semalam.
Katanya, 15 pelatih senior yang dikenalpasti terlibat dalam penderaan itu berdasarkan rakaman video.
Isnin lalu, Buletin Utama TV3 memaparkan rakaman video mengenai penderaan terhadap Mohd Hazim setelah bapanya, Ahmad Azman Ghazali, 46, membuat laporan di Balai Polis Jitra, Ahad lalu.
Rakaman kamera digital itu menunjukkan Mohd Hazim didera dengan pelbagai cara termasuk menjilat sesuatu di atas tanah, memasukkan kepala dalam longkang dan ditendang.
Penderaan itu dipercayai berlaku sejak September lalu dan terbaru pada 27 Januari lalu, di kawasan Wisma Kadet TUDM di Kem Tanah Merah dekat Jitra.
Pasukan penyiasat
Polis Kubang Pasu telah menubuhkan sebuah pasukan penyiasat yang diketuai seorang pegawai dan dibantu lima penolong pegawai penyiasat bagi mengendalikan kes itu.
"Keterangan daripada 15 pelatih itu dijangka selesai petang ini. Selain mereka pelatih lain dan pegawai KTU juga mungkin dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata Mohd Haim dan bapanya, Ahmad Azman dijangka memberi keterangan mereka esok.
Katanya, polis akan meninjau tempat kejadian jika perlu dan menambah beliau berpuas hati terhadap kerjasama yang diberikan oleh KTU kepada polis yang menyiasat kes tersebut.
Laporan siasatan itu apabila siap akan diserahkan kepada pendakwaraya untuk menentukan mereka yang terbabit akan didakwa atau tidak, kata Mohd Karim.
Beliau berkata polis tidak akan campur tangan terhadap siasatan dalaman yang sedang dijalankan TUDM bersabit kes itu.
Tentera Udara Diraja Malaysia turut menubuhkan Lembaga Siasatan yang dianggotai tiga pegawai kanan pasukan itu bagi menyiasat kes penderaan Mohd Hazim.

