Nalla: Saya bertanding atas permintaan majoriti ahli
Ahli perniagaan, Datuk S Nallakarupan berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Kongres Nasional, Mei ini atas permintaan majoriti ahli dari kalangan kaum India.
Ahli perniagaan, Datuk S Nallakarupan berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Kongres Nasional, Mei ini atas permintaan majoriti ahli dari kalangan kaum India.
Malah, beliau mendakwa turut mendapatkan sokongan Naib Presiden sekarang, Azmin Ali dan bekas Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Nor.
Ketika dihubungi malaysiakini hari ini, katanya, beliau telah mengumumkan hasratnya kepada lebih 100 ahli PKR keturunan India dari Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam satu perjumpaan di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.
"Saya bertanding untuk mengukuhkan sokongan masyarakat India, termasuk parti-parti lain terhadap PKR," kata bekas timbalan ketua Pemuda MIC pusat
Sehubungan itu, katanya, beliau akan menemui ahli-ahli PKR dari kalangan masyarakat India di peringkat akar umbi dalam usaha meningkatkan kekuatan parti tersebut.
Nalla yakin, beliau boleh memberi sumbangan besar kepada parti itu dalam menghadapi saingan parti-parti politik yang lain.
"Setiap orang menerima saya walaupun saya masih baru dalam parti ini," katanya lagi.
Tambah ahli baru
Tiga penyandang Naib Presiden PKR sekarang ialah Sivarasa Rasiah, Dr Lee Boon Chye dan Azmin. Manakala dua naib presiden yang dilantik ialah Mustaffa Kamil Ayub dan Datin Saidatul Tun Said.
Sementara itu, menurut satu sumber parti, Nalla menyatakan hasrat tersebut bagi memenuhi permintaan masyarakat India yang mahukan beliau menjadi pemimpin kaum tersebut dalam parti tersebut.
"Keputusan Datuk Nalla itu disambut baik oleh ahli-ahli yang hadir di perjumpaan tersebut kerana keupayaan beliau menambah ahli baru dari kalangan masyarakat India," katanya kepada malaysiakini.
Nalla hanya memerlukan dua pencalonan dari bahagian parti untuk membolehkan beliau bertanding jawatan naib presiden.
Menurut sumber itu lagi, sejak kemasukan Nalla ke dalam PKR, lebih ramai masyarakat India dari MIC Dan Parti Progresif Rakyat (PPP) telah menyertai parti itu.
"Datuk Nalla merupakan pemimpin politik yang berpengalaman khususnya dengan masyarakat India, jadi kehadirannya akan mengukuhkan lagi parti itu," katanya.
Mesyuarat bahagian PKR sedang berlangsung sehingga bulan depan. Parti itu mempunyai 197 bahagian di seluruh negara.
Pertahan jawatan
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini penasihat parti telah dicalonkan oleh PKR Selangor untuk mengambilalih jawatan presiden yang kini disandang isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.
PKR Selangor dalam mesyuaratnya di Shah Alam pada 11 Februari lalu, juga mencalonkan penyandang jawatan timbalan presiden, Dr Syed Husin Ali untuk mengekalkan jawatan tersebut
Bagaimanapun, bahagian Kelana Jaya yang paling awal bermesyuarat iaiatu pada tarikh yang sama telah mencalonkan Azmin untuk jawatan timbalan presiden.
Sementara itu, Sivarasa ketika dihubungi berkata, beliau akan mempertahankan jawatan naib presiden jika mendapat cukup pencalonan dalam Kongres Nasional nanti.
Katanya, terpulang kepada perwakilan untuk membuat pemilihan kerana ia merupakan proses demokrasi dan ini bermakna sesiapapun boleh bertanding sebarang jawatan dalam parti.
"Saya tidak melihat pertandingan itu boleh melemahkan parti, tetapi sebaliknya ia memberi peluang kepada ahli untuk memilih pemimpin yang mereka kehendaki," katanya.

