Adun baru Batu Talam disaman peniaga
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam yang baru, Abd Aziz Kiram, adalah antara tujuh pihak yang disaman oleh seorang peniaga hari ini atas dakwaan bersubahat menyalahguna kuasa dan menyeleweng penggunaan tanah seluas empat hektar milik kerajaan di bandar Raub, Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam yang baru, Abd Aziz Kiram, adalah antara tujuh pihak yang disaman oleh seorang peniaga hari ini atas dakwaan bersubahat menyalahguna kuasa dan menyeleweng penggunaan tanah seluas empat hektar milik kerajaan di bandar Raub, Pahang.
Peniaga tersebut, Razali Hassan menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di Temerloh, melalui Tetuan Mohd Harris.
Pada 29 Disember lalu, Razali memfailkan saman yang sama namun menarik balik saman itu pada 16 Januari lalu.
Peguamnya Mohd Harris Abdullah berkata penarikan balik saman itu bertujuan memberi laluan kepada Abd Aziz untuk bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam pada 28 Jan lepas.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata anak guamnya tidak mahu dilabelkan sebagai "pengacau" pilihanraya kecil itu.
Selain Abd Aziz, enam lagi defenden yang disaman hari ini ialah syarikat Coralfare Sdn Bhd; Exco kerajaan negeri Pahang, Datuk Shahiruddin Ab Moin; Abd Aziz; Naib Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Ir Azinudin Abd Rahim; Ketua Wanita Umno Raub, Asmah Ismail; Setiausaha Barisan Nasional Raub, Ahmad Sabri Zainal Abidin dan Yayasan Raub.
Hak individu
Razali mendakwa Coralfare Sdn Bhd telah memasuki satu perjanjian dengan kerajaan negeri Pahang secara menipu dengan representasi salah dan telah memohon untuk memperoleh 47 hak milik individu.
Beliau mendakwa Coralfare gagal untuk memberitahu Yayasan Raub bahawa yayasan yang ditubuhkan untuk kebajikan rakyat itu telah dilantik atau dipilih oleh kerajaan negeri Pahang sebagai rakan usahasama dengan syarikat itu.
Razali juga mendakwa Azinuddin ingkar dalam tanggungjawabnya sebagai fidusiari (pemenang amanah) untuk Yayasan Raub apabila membenarkan Coralfare mengambil alih pembinaan di atas tanah itu sedangkan usaha tersebut telah dimulakan oleh yayasan itu semasa beliau menjadi pengarah Yayasan Raub.
Beliau turut mendakwa Shahiruddin, Abd Aziz, Asmah dan Ahmad Sabri bersubahat dengan Coralfare untuk mengelirukan Pejabat Tanah dan membenarkan syarikat itu memohon hak milik itu atas nama syarikat terbabit sedangkan mereka semua mengetahui bahawa Yayasan Raub telah dilantik sebagai rakan usahasama dan permohonan perlu dibuat secara bersama.
Justeru, Razali menuntut satu injuksi bagi melarang Coralfare sama ada secara sendiri atau melalui ejen-ejen daripada terus mengusahakan tanah berkenaan.
Beliau turut menuntut satu perintah bahawa perjanjian yang dimeterai antara Coralfare dan kerajaan Pahang pada 23 Ogos 2004 sebagai tidak sah dan terbatal daripada awal lagi, selain menuntut gantirugi am dan khas yang akan ditaksirkan oleh Penolong Kanan Pendaftar.

