Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa Peguam Negara, Idrus Harun, menyatakan secara jelas sama ada wajar atau tidak mengikut undang-undang untuk polis menyiasat sendiri dakwaan troll farm mereka sendiri seperti didedahkan syarikat Meta.

Pada 6 Ogos lalu, katanya, dilaporkan bahawa polis dikaitkan dengan troll farm yang mempromosikan kerajaan dan mengkritik pengkritiknya.

“Ia juga dilaporkan bahawa Meta dalam laporannya bahawa kira-kira 1,000 akaun Facebook dan Instagram, serta kumpulan dan halaman Facebook, dialih keluar kerana melanggar dasar syarikat itu terhadap kelakuan tidak sahih yang diselaraskan.

“Tuduhan yang dibuat oleh Meta adalah serius dan berkepentingan awam,” kata Gobind.

Menurut bekas menteri itu, walaupun polis secara terbuka menafikan dakwaan berkenaan, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pada 13 Sept berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu.

“Walaupun kami mengalu-alukan siasatan berhubung perkara itu, persoalannya ialah, wajar atau tidak polis menyiasat sesuatu perkara yang mereka sendiri dikatakan terlibat.

“Mungkin juga penting untuk ditanyakan jika terdapat kelewatan dalam siasatan, dan jika ya, adakah ia ada kaitan dengan siasatan dalaman yang mungkin tercemar dengan konflik.

“Ia juga penting untuk ambil perhatian bahawa polis telah menafikan dakwaan itu walaupun sebelum siasatan selesai. Tidakkah dalam keadaan ini ada konflik di pihak polis untuk menyiasat perkara itu?” tanya Gobind.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu berkata Idrus mesti bertindak dengan betul dan mengarahkan supaya siasatan bebas dilancarkan ke atas dakwaan itu.

“Lebih baik jika orang yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan polis dan dakwaan itu memutuskan jika ada asas untuknya.

“Memandangkan perkara itu adalah satu isu kepentingan awam yang melibatkan integriti pasukan polis, lebih baik jika sebarang siasatan sedemikian juga didedahkan kepada umum bagi meningkatkan ketelusan dan kredibiliti,” tambahnya.

[Baca berita asal]