Penulis buku bertajuk 'Mac 8' akan memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan mengharamkan buku tulisannya mengenai peristiwa berdarah di Kampung Medan pada 2001.

Penulis berkenaan adalah K Arumugam, seorang anggota sekretariat Suaram. Buku tersebut dilaporkan diterbitkan oleh Separuthi Publications Sdn Bhd.

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengumumkan pertengahan bulan lalu bahawa buku tersebut diharamkan berkuatkuasa 28 Disember yang lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, penyelaras Suaram, John Liu berkata ia akan difail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) pada jam 2.45 petang esok.

Sebelum ini, Suaram turut menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya menjalankan siasatan berhubung tindakan kerajaan mengharamkan 56 buku, termasuk 'Mac 8'.

.

Dalam memorandum kepada Suhakam pada 16 Februari lalu, Suhakam berkata, siasatan tersebut perlu diadakan bagi menentukan apakah alasan mengharamkan buku-buku tersebut adalah sah dan berjustifikasi.

Ia juga menggesa Suhakam supaya memastikan dasar-dasar kerajaan dan perundangan di negara ini berhubung pengharamkan buku-buku adalah selaras dengan hak asasi manusia.