Amnesty International (AI) Malaysia memandang berat laporan mengenai cadangan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan supaya pekerja asing hanya tinggal di rumah kongsi manakala pergerakan mereka pula dikawal sepanjang masa bagi mengelak mereka terbabit dalam jenayah.

"Kita percaya pekerja asing ini, seperti juga orang lain, layak menikmati hak asasi yang termaktub dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan," kata Pengarah Eksekutif AI Malaysia, Josef Roy Benedict.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, ini termasuk hak kebebasan serta kesaksamaan di segi undang-undang tanpa sebarang diskriminasi, hak kebebasan untuk bergerak serta ketakbersalahan.

"Oleh itu, kita melihat cadangan untuk menyekat pergerakan rakyat asing ini sendiri mencabul hak asasi manusia dan merupakan satu bentuk hukuman hanya semata-mata kerana disyaki.

"Kebebasan seseorang itu hanya boleh digantaung sekiranya dia terbukti melakukan jenayah yang dihukum penjara oleh pihak mahkamah selepas dibicarakan secara adil," tambah Benedict.

Lagi pula, katanya, KPN juga dilaporkan berkata, hanya dua peratus jenayah tahun lalu membabitkan pekerja asing.

Dijadikan 'kambing hitam'

Oleh itu, tegasnya, cadangan untuk mengaitkan peningkatan kes jenayah dengan pekerja asing merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap mereka.

"Ini mencabul piawaian hak asasi antarabangsa yang menjamin kesaksamaan keadilan di bawah undang-undang. Ia akan menimbulkan rasa takut dan rasa curiga di kalangan masyarakat pendatang asing.

"Dan ini akan menyebabkan mereka kurang memberi kerjasama dalam siasatan kes jenayah atau mendapatkan perlindungan pihak polis apabila mereka sendiri menjadi mangsa," katanya.

Menurutnya, banyak kajian mendapati apabila pihak polis terlalu menumpukan kepada aspek kaum, suku kaum atau kerakyatan, maka mereka akan kurang memberi perhatian kepada pelakuan sebenar jenayah.

Ini, tegas Benedict lagi, merupakan satu aliran yang merbahaya yang boleh menjejaskan penguatkuasaan yang berkesan dan turut membahayakan nyawa semua orang yang bergantung kepada pihak polis untuk mendapat perlindungan.

"Akhirnya, kami percaya bahawa langkah menjadi rakyat asing sebagai 'kambing hitam' untuk tindakan jenayah, akan meningkatkan rasa prejudis dan rasa takut terhadap masyarakat rakyat asing di Malaysia," katanya.