Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP), Salahuddin Ayub mendakwa, campurtangan pihak eksekutif dan politik dalam tugas polis, menyebabkan usaha membanteras jenayah dan kegiatan tidak bermoral di seluruh negara gagal.

Beliau berkata, Pemuda PAS mahu tindakan tersebut dihentikan kerana selagi ada campurtangan sedemikian rupa, perang terhadap jenayah tidak akan berjaya.

"Saya, sebagai ahli Parlimen, akan memanjangkan perkara tersebut ke persidangan Dewan Rakyat supaya kerajaan mengambil tindakan menanganinya.

"Saya menyuarakan perkara ini dalam pertemuan dengan pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, SAC1 Zul Hasnan Najib Baharuddin,," katanya kepada wartawan selepas pertemuan tersebut tengah hari tadi.

Zul Hasnan, kata Salahuddin setuju bahawa campurtangan pihak politik akan menyebabkan polis gagal membasmi jenayah di ibu negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kata Salahuddin, semasa menjadi Ketua Polis Johor, pernah mengakui bahawa pasukannya menerima arahan dari orang politik supaya menghentikan operasi membanteras kegiatan tidak bermoral di negeri itu.

Dalam sidang media tersebut, Salahuddin berkata, Pemuda PAS menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) tetapi mahu suruhanjaya yang sama ditubuhkan juga di jabatan kerajaan yang lain.

Sokong IPCMC

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Imigresen juga perlukan penubuhan suruhanjaya seperti IPCMC.

Jika penubuhan IPCMC itu, yang antara lain bertujuan untuk membanteras rasuah dalam pasukan polis, Salahuddin berkata, rasuah juga berlaku dalam PBT, KDRM dan Jabatan Imigresen.

Kerajaan, katanya, membelanjakan RM300 juta untuk menubuhkan Pelan Intergriti Nasional (PIN) bagi meningkatkan keberkesanan sistem kehakiman, pentadbiram awam dan polis.

"Tetapi jika pihak eksekutif dan pemimpin politik campurtangan, maka perbelanjaaan yang besar itu akan menjadi sia-sia sahaja," katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, beberapa klausa dalam IPCMC perlu dirombak kerana ia tidak memberi keadilan kepada anggota pasukan keselamatan tersebut.

Katanya, dalam satu klausa iaitu anggota polis tidak boleh membuat rayuan terhadap kesalahan yang dilakukan tidak memberi keadilan kepada mereka.

"Kita (Pemuda PAS) tidak setuju dengan klausa tersebut kerana tidak mahu anggota polis menjadi mangsa. Bagi kami, anggota polis juga perlu diberi peluang membela diri," katanya.