Paling Popular
Terkini

PAS hari ini menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) merupakan musuh mereka pada PRU ke-15 dan bukan BN.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata partinya juga masih percaya bahawa hanya gabungan dengan Umno-BN atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional mampu menjadi formula berkesan untuk mereka menghadapi PH.

Katanya, pendekatan itu diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah "kerajaan prihatin rakyat" dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberi perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

"PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU ke-15 nanti," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebagai rekod Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada awal bulan ini dipetik sebagai berkata bahawa PAS memutuskan untuk menghadapi pilihan raya akan datang sebagai sebahagian daripada gabungan PN.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi PAS termasuk presidennya Abdul Hadi Awang berulang kali mendakwa mereka sedang berbincang dengan Umno, termasuk tanpa membabitkan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun begitu, pemimpin Umno berkali-kali menafikan berlaku rundingan di antara mereka dengan PAS akhir-akhir ini.

Pada awal tahun ini, Umno Selangor menyuarakan idea untuk bekerjasama dengan PAS tetapi perbincangan itu kemudiannya tiada perkembangan lanjut.

Selain itu pemimpin Umno juga menegaskan menetapkan syarat bahawa sebarang kerjasama dengan PAS mesti didahului dengan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Lihat Komen
ADS