Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno desak kerajaan dedah hasil siasatan buku Tommy
Diterbitkan:  Sep 21, 2022 11:46 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Pemuda Umno mendesak agar hasil siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas didedahkan segera, kata Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki.

"Ini penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan SPRM.

"Malah yang lebih mustahak mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada politik pihak berkepentingan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 9 Oktober 2021, kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Perdana Menteri, Ismail Sabri memaklumkan pasukan petugas tersebut ditubuhkan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap Thomas.

Pasukan itu antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Thomas mengenai salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata pihaknya sebelum ini telah membangkitkan sekurang-kurangnya lapan isu utama yang boleh mengaitkan bekas peguam negara itu dengan pelbagai salah laku.

Ia termasuk melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara.

"Thomas mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan hakim-hakim kanan termasuklah ketua hakim negara, presiden mahkamah rayuan, hakim besar Malaya dan hakim besar di Sabah dan Sarawak serta hakim mahkamah persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama perdana menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

"Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009.

"Pendedahan Thomas juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas perdana menteri ke-7, Dr Mahathir Mohamad dalam badan pengadilan dan kehakiman. Ini jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Asyraf lagi.

Hujung Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pasukan petugas khas yang dibentuk untuk menyiasat dakwaan Thomas telah selesai.

Katanya pada masa itu, laporan akhir itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan.

Bagaimanapun Thomas menegaskan dia tidak akan bekerjasama dengan pasukan petugas itu.

Menurutnya, pasukan petugas itu tidak sepatutnya bertanggungjawab terhadap kabinet dan akan meletakkan duluan atau precedent berbahaya kerana ia akan menjejaskan kebebasan pejabat peguam negara.

Lihat Komen
ADS